Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang gelandangan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas pada Ahad lalu.

Tertuduh, Chin Ling Sin, 51, yang kudung tangan kanan itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ling Sin didakwa dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada Leong Chow Wah, 67.

Tertuduh, didakwa melakukam kesalahan itu di lorong tepi Restoran Ming Court, No 36 Jalan Leong Sin Nam di sini, antara 4.50 pagi hingga 5.50 pagi, 16 Oktober lalu.

Oleh yang demikian tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 Disember hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahad lalu, media melaporkan seorang lelaki berjaya ditahan polis dalam tempoh dua jam.

CHIN didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gelandangan warga emas Ahad lalu. FOTO L Manimaran
CHIN didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gelandangan warga emas Ahad lalu. FOTO L Manimaran

Penahanan lelaki itu dibuat susulan penemuan mayat lelaki yang juga seorang gelandangan di lorong berhampiran kaki lima Jalan Leong Sin Nam.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai dipukul dan ditendang oleh seorang lagi gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 12:48 PM