ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis berjaya menahan lima suspek dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjatakan pisau di sekitar Klang Utara menerusi beberapa serbuan di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun bersenjatakan pisau yang berlaku antara April hingga Julai tahun ini.

Menurutnya, kejayaan tangkapan suspek adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa yang disamun pada 7 Julai lalu.

Dalam kejadian 3.30 pagi katanya, semasa mangsa sedang tidur di rumah di Jalan Meranti Bunga, Taman Seri Mewah Off Jalan Pasar Malam di sini, mangsa dikejutkan oleh dua lelaki yang menutup muka dengan kain.

"Salah seorang suspek mengacukan pisau ke arah isteri pengadu (mangsa), kemudian menarik rantai dan gelang tangan emas isteri pengadu.

"Selepas itu, seorang lagi suspek masuk dan mengarahkan pengadu menyerahkan barang berharga jika tidak mahu diapa-apakan.

"Kemudian suspek bertindak melarikan komputer riba, telefon bimbit serta wang tunai, di mana jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM15,000," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Nurulhuda berkata, bertindak di atas maklumat itu, jam 9.15 malam, polis menyerbu sebuah rumah di Desa Bukit Nilam, Bukit Kapar dan menangkap seorang suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kes itu, pada 14 Julai lalu.

"Hasil soal siasat ke atas suspek itu membawa kepada serbuan kedua dan ketiga dengan bantuan cawangan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor keesokan harinya.

"Menerusi serbuan itu, polis berjaya menahan dua lelaki di sekitar Kapar. Tangkapan seterusnya membabitkan seorang wanita di Taman Seri Wangi, Kapar.

"Kemudian pada 16 Julai pula, kira-kira 6 pagi, polis berjaya menangkap seorang lelaki di Plaza Tol Setia Alam," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan dan tangkapan itu, polis turut merampas lima telefon bimbit, dua motosikal, dua topi keledar dan pisau

"Siasatan mendapati, keempat-empat suspek lelaki mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah kekerasan.

"Dua dari suspek berkenaan juga pernah dikenakan tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, bagaimanapun suspek wanita yang ditangkap kerana memiliki barang curi itu tiada rekod kesalahan lampau.

"Kelima-lima suspek berumur antara 20-an hingga 30-an itu mempunyai hubungan keluarga dan direman sehingga 22 Julai," katanya.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi kumpulan ini adalah empat suspek menaiki dua motosikal dan menyasarkan rumah teres yang kurang penghuni dan tiada kenderaan.

"Suspek masuk ke dalam rumah dengan memanjat pagar rumah dan mengumpil pintu hadapan. Tiga suspek akan masuk ke dalam rumah dan seorang lagi menunggu di luar rumah.

"Semua suspek akan menutup muka menggunakan baju dan seorang memegang pisau," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 9:10 AM