GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang peniaga makanan di Bazar Mini Pontian, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Pontian, hari ini atas pertuduhan menjual makanan mengandungi mikroorganisma patogenik, April lalu.

Tertuduh, Animar Sabirin, 57, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Azzuin Abd Moati.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menjual makanan iaitu bubur kacang yang mengandungi bacillus cereus (salah satu mikroorganisma patogenik), sekali gus tidak mematuhi kehendak penjualan makanan seperti yang diperuntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di tapak bazar nombor 66, Bazar Mini Pontian, Pontian, jam 5 petang, 11 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Pontian, Samsuri Hamzah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai tujuan pengajaran dan bagi meningkatkan kesedarannya serta masyarakat supaya lebih peka dan patuh mengenai isu keselamatan makanan bagi memastikan pengguna dapat membeli makanan selamat dimakan yang dijual di pasaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman denda yang rendah kerana mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah.

Berdasarkan fakta kes, pegawai serbuan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Pontian telah menjalankan aktiviti pensampelan makanan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Difahamkan, hasil analisa yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru mendapati makanan yang diuji tercemar dengan mikroorganisma patogenik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 5:54 PM