GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein

Segamat: Seorang pengusaha makanan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyediakan makanan mengandungi mikroorganisma patogenik, tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Razak Abdullah, 60, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Salina Omar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menyediakan makanan iaitu air sirap laici yang tidak mematuhi kehendak penjualan makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan makanan 1985.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Makan PULAPOL Segamat di sini, jam 6.45 petang, 12 Julai 2022.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan dihukum di bawah peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Segamat, Mohd Zainuri Abd Rahman memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman denda yang rendah kerana mempunyai tanggungan yang ramai termasuk anak yang masih bersekolah.

Difahamkan, hasil analisa Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru mendapati makanan yang diuji iaitu air sirap laici, tercemar dengan mikroorganisma bacillus cereus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 1:15 PM