Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Pemimpin Pas dilihat mengunci mulut sama ada parti itu membuat ketetapan menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila memilih untuk mengukuhkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditanya berhubung perkara itu hanya melemparkan senyuman sebelum berlalu pergi.

"Semua boleh mengambil kenyataan media," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memutuskan parti itu akan mengukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU-15.

Abdul Hadi berkata, ketetapan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Terdahulu, Abdul Hadi mempengerusikan mesyuarat AJK Pas Pusat di Pejabat Agung parti itu yang berlangsung selama lebih tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 3:46 PM