RAKAMAN gambar tular di media sosial memperlihatkan kawasan yang terjejas banjir kilat di Kota Kinabalu.  FOTO tular
RAKAMAN gambar tular di media sosial memperlihatkan kawasan yang terjejas banjir kilat di Kota Kinabalu. FOTO tular
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hujan lebat sejak 2 petang tadi di sekitar daerah ini dan Penampang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 lokasi dilanda banjir.

Antara lokasi yang dilaporkan banjir adalah Tebobon, Telipok, Indah Permai, Manggatal, Likas, Rugading, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Rampayan dan Kolombong.

Manakala bagi daerah Penampang pula membabitkan lokasi bulatan Sigah, Kampung Kibabaig, Kampung Kolopis, Kinarut, Pavillion dan beberapa lagi kawasan sekitar.

Difahamkan, selain hujan lebat, fenomena air pasang besar dan kegagalan sistem saliran serta perparitan turut menyumbang kepada banjir kilat itu.

Sementara itu, sembilan individu membabitkan dua keluarga di Kampung Mansiang, Manggatal, di sini, terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira jam 3 petang tadi.

Semua sembilan mangsa dilaporkan terperangkap di rumah masing-masing sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan, semua mangsa berjaya dibantu pasukan bomba untuk keluar ke tempat selamat.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:47 PM