NAJIB. FOTO Reuters
NAJIB. FOTO Reuters
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak hari ini, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun memfailkan notis permohonan dan afidavit sokongannya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 1 tengah hari melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co.

Dalam permohonan berkenaan, bekas perdana menteri itu yang bertindak sebagai pemohon, menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim MahkamahTinggj Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 12 Oktober ini.

Melalui notis permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon antaranya perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak membenarkannya untuk mendapatkan akses kepada pegawai atau pembantu bagi tujuan menjalankan kerja di kawasan parlimennya.

Najib juga memohon perintah sama untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak membenarkan hadir pada persidangan Dewan Rakyat.

Turut dipohon, perintah mandamus supaya responden mengambil semua langkah perlu untuk membenarkannya menghadiri sidang dewan rakyat pada tarikh yang sudah ditetapkan serta relif, perintah dan lain-lain arahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, pada 28 September lalu, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara melalui Penjara Kajang menyampaikan keputusan menolak permohonannya untuk menghadiri sidang parlimen atas alasan keselamatan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Najib berkata, beliau mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri pada 30 September lalu dan oleh kerana sidang bermula pada 3 Oktober lalu, beliau memohon supaya keputusan dipercepatkan.

Oleh kerana tiada sebarang jawapan, Najib berkata, beliau memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman ini.

Katanya, berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan dari segi perlembagaan untuk melaksanakan tugas dengan efektif sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Parlimen Pekan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 8:10 PM