UMS. FOTO Arkib NSTP
UMS. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menasihatkan penuntutnya yang ingin menyewa bilik atau rumah supaya menggunakan kemudahan disediakan universiti itu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atau 'scammer'.

Ia susulan laporan mengenai beberapa penuntutnya menjadi mangsa 'scammer' yang menawarkan rumah sewa tidak wujud bagi mendapatkan bayaran deposit sebelum menghilangkan diri.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, penuntut UMS boleh merujuk kepada Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS bagi sebarang urusan yang berkaitan dengan rumah sewa.

Katanya, maklumat mengenai rumah sewa yang sah juga boleh diperoleh melalui laman web https://rumahsiswa.mohe.gov.my/ bagi memudahkan penuntut yang mencari rumah sewa.

"Sebarang maklumat lanjut berhubung rumah sewa, pelajar UMS boleh menghubungi PNRF di talian 088-320000 sambungan 205500 atau melalui emel [email protected].

"Pemilik rumah di sekitar UMS yang berminat untuk menyewakan rumah atau bilik kepada penuntut juga boleh berhubung dengan PNRF UMS agar pihak kami dapat mengenal pasti dan mengesahkan yang penyewa bukanlah 'scammer'," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kasim turut mengingatkan penuntut yang mencari rumah sewa sendiri supaya terlebih dahulu membuat semakan dan memeriksa rumah sebelum membuat bayaran deposit bagi mengelak ditipu.

Katanya, ia juga bagi memastikan rumah sewa berkenaan memenuhi keperluan minimum ditetapkan seperti penyediaan bekalan elektrik, air, kipas, tandas dan dapur.

"Kita tidak mahu penyewa mengambil kesempatan dengan menyediakan kemudahan yang tidak sesuai dan tidak lengkap yang akan menyusahkan penuntut kita nanti," katanya.

Semalam, polis Kota Kinabalu menahan seorang wanita berusia 39 tahun selepas dikesan melakukan penipuan dengan menawarkan rumah sewa yang tidak wujud kepada pelajar melalui Facebook.

Sehingga kini, dilaporkan 10 penuntut UMS yang mencari rumah sewa menjadi mangsa penipuan dengan kerugian mencecah RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 6:18 PM