MENYEWAKAN rumah boleh menguntungkan dan boleh juga jadi mimpi ngeri jika tersilap langkah. - FOTO Google
MENYEWAKAN rumah boleh menguntungkan dan boleh juga jadi mimpi ngeri jika tersilap langkah. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


BERDEPAN penyewa yang merosakkan kediaman menjadi mimpi ngeri buat pemilik rumah sewa.

Dinding berlubang, rumah dipenuhi sampah dan liat membayar sewa bulanan antara masalah yang sering dihadapi pemilik rumah sewa.

Kononnya, rumah disewakan dapat mengurangkan beban dan menambah pendapatan namun sebaliknya yang berlaku.

Realitinya, pelaburan hartanah boleh menguntungkan dan boleh juga menjadi mimpi ngeri apabila tersilap langkah. Cabaran utama untuk pelaburan jangka panjang ini adalah menguruskan rumah sewa dengan baik.

Kesudahannya pemilik terpaksa berdepan kerugian termasuk mengeluarkan kos untuk membaik pulih rumah yang rosak sebelum penyewa baru masuk.

Dilema ini yang sering dihadapi pemilik rumah sewa yang berkira-kira untuk menyewakan kediaman.

Perkara ini dilalui Pengarah Urusan Hartaplus Capital Sdn Bhd, Bija Rosly dan isterinya, Fida Jaafar yang memiliki hartanah di beberapa negeri sejak 2015.

Bija berkata, sebelum ini mereka menjalankan lima perniagaan yang semuanya menemui kegagalan.

PEMILIK rumah sewa berdepan risiko rumah rosak. - FOTO Google
PEMILIK rumah sewa berdepan risiko rumah rosak. - FOTO Google

KADANGKALA pemilik rumah sewa berdepan kerugian apabila rumah rosak. - FOTO Google
KADANGKALA pemilik rumah sewa berdepan kerugian apabila rumah rosak. - FOTO Google

Katanya, mereka kemudian mencari pelaburan yang lebih baik dan dapat diuruskan secara sambilan kerana masih mempunyai pekerjaan tetap.

"Bagaimanapun, pembelian hartanah pertama dan kedua juga memberikan ujian besar kepada kami yang baru bermula pada masa itu.

"Dari awal proses pembelian, sehingga kemasukan penyewa ada sahaja masalah yang dihadapi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mereka pernah berdepan penyewa bermasalah seperti mengalami masalah kesihatan mental, penyewa pengotor, liat membayar sewa, suka menimbulkan masalah dan ada satu kes membabitkan dadah.

"Kadangkala dapat juga penyewa yang bayar sewa awal setiap bulan, tapi menimbulkan masalah dengan penyewa lain. Kerenah yang pelbagai ini membuatkan kami pernah rasa penat dan mahu sahaja putus asa.

"Bagaimanapun, memikirkan ada juga penyewa yang baik dan sangat beradab, kami teruskan pelaburan hartanah ini dengan niat menyediakan tempat tinggal selesa kepada mereka yang baru memulakan hidup atau baru dapat pekerjaan," katanya.

Jelasnya, melalui pengalaman berhadapan pelbagai masalah pada awalnya, mereka mempelajari banyak cara menyelesaikannya dan sedaya upaya meningkatkan prestasi pengurusan rumah sewa.

"Dari pengalaman juga kami dapat membeli hartanah lain yang lebih berkualiti dengan mengambil kira kos dan matlamat pembeliannya.

"Ada antara hartanah ini yang sudah rosak teruk dan kami beli untuk dibaik pulih menjadi rumah yang selesa kepada penyewa," katanya.

Sehingga kini, pihaknya turut mempunyai kumpulan yang dinamakan sebagai Bijak Urus Rumah Sewa (BURS) yang menggalakkan pengurusan rumah sewa yang lebih mudah dan bersistem kepada pemilik rumah sewa.

Beliau turut berkongsi empat tip untuk mencari penyewa dan membina hubungan baik antara kedua-dua pihak.

SEDIAKAN dokumen berkaitan untuk elakkan perkara berbangkit. - FOTO Google
SEDIAKAN dokumen berkaitan untuk elakkan perkara berbangkit. - FOTO Google

PASTIKAN penyewa miliki ciri-ciri seorang pembersih. - FOTO Google
PASTIKAN penyewa miliki ciri-ciri seorang pembersih. - FOTO Google

1. Sasar segmen penyewa yang anda mahukan

Siapa yang anda mahu jadi penyewa? Contohnya wanita bujang atau lelaki bujang yang baru mula kerja. Segmen yang jelas memudahkan pemilik rumah merancang kos untuk menyediakan keperluan kepada penyewa yang disasarkan.

2. Kenal pasti ciri-ciri atau tingkah laku penyewa yang anda mahu

Tulis sahaja ciri-ciri baik yang anda mahu. Walaupun pada masa sekarang anda belum jumpa, tetapi sekurang-kurangnya anda sendiri faham dan jelas tingkah laku penyewa yang anda mahu. Kebersihan perlu menjadi kriteria utama dalam pemilihan penyewa.

"Jika penyewa yang masuk mempunyai tabiat membayar sewa awal setiap bulan dan pada masa sama seorang pengotor, kami tetap akan mengeluarkan penyewa jenis ini kerana beliau melanggar ciri-ciri penyewa yang kami tetapkan. Prinsip ini sangat penting untuk dipegang kerana ia akan memberi kesan jangka panjang," kata Bija.

3. Sediakan nilai

yang berpadanan dengan ciri-ciri penyewa

Selepas anda jelas dengan ciri-ciri penyewa yang anda mahukan, maka lebih senang untuk sediakan rumah anda berpadanan dengan penyewa itu.

"Rumah sewa yang kami sediakan mempunyai peralatan yang memudahkan penyewa melakukan pembersihan. Sudut dalam rumah juga tidak boleh diletakkan barangan secara sembarangan. Semuanya mempunyai peraturan," kata Bija.

4.Sediakan pengurusan rumah sewa secara bersistem

Pengurusan secara bersistem ini merangkumi proses menyediakan rumah sewa, proses mengambil penyewa dan proses menguruskan aduan, membaik pulih kerosakan apabila penyewa menyewa dengan anda. Sebagai tuan rumah, proses ini sangat penting supaya anda dapat memberikan kefahaman kepada penyewa apa hak dan peraturan mereka sebagai penyewa.

Ia juga adalah cara pemilik rumah dapat menguruskan rumah sewa secara teratur. Setiap dokumen berkaitan sangat mudah dicapai. Apabila Covid-19 melanda, ia adalah suatu kemestian kepada pemilik untuk menguruskan rumah menggunakan teknologi supaya pengurusan menjadi lebih efisien.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 7:00 AM