Ramai pelajar runsing tiada tempat tinggal walaupun semester baharu bakal bermula.
Ramai pelajar runsing tiada tempat tinggal walaupun semester baharu bakal bermula.
Oleh Redzuan Muharam dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Bayaran deposit tinggi sehingga mencecah RM6,000 selain jarak rumah sewa jauh dari kampus antara kesulitan dihadapi segelintir penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang akan memulakan pengajian semester baharu pada pertengahan bulan depan.

Keadaan itu membuatkan mereka runsing kerana masa semakin suntuk, tetapi belum ada rumah sewa untuk diduduki.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda yang mahu dikenali sebagai Shakirin, 23, berkata kegagalan mendapat tempat dalam kolej kediaman (asrama) menyebabkan dia terpaksa mencari rumah sewa sebelum memulakan pengajian semester lima pada 11 Oktober depan.

Katanya, proses untuk mencari rumah sewa agak sukar baginya yang berasal dari Tawau, Sabah kerana perlu mencari individu dipercayai untuk meninjau kediaman terlebih dulu.

"Setakat ini, saya sudah menghubungi puluhan ejen dan pemilik rumah, namun hampir semuanya menetapkan deposit rumah sewa RM3,000 ke atas malah ada yang mencecah RM6,000.

"Saya faham alasan pemilik meletakkan deposit yang tinggi untuk rumah mereka, tetapi perkara itu agak membebankan penyewa terutama penuntut yang tiada sumber pendapatan," katanya.

Katanya, rumah yang menawarkan sewa berpatutan khususnya untuk penuntut B40 juga agak terhad dan dia yakin masih ramai penuntut lain belum mendapat rumah dan bilik walaupun semester akan bermula dalam beberapa minggu lagi.

"Itu belum lagi risiko berurusan dengan scammer yang cuba ambil kesempatan kerana tahu ramai penuntut dalam keadaan terdesak mencari rumah berdekatan dengan kampus serta tiada kenderaan sendiri.

"Diharap, perkara ini mendapat perhatian serius kerana sebagai penuntut dari Sabah, ia amat menyukarkan saya yang tidak pernah menyewa serta tahu selok belok di sana (Shah Alam)," katanya.

Penuntut lain dikenali sebagai Zaid, 24, pula berkata dia mula mencari rumah sewa selepas menerima pengesahan tidak mendapat tempat di kolej kediaman pada 12 September lalu.

Katanya, selain deposit tinggi, carian dilakukan mendapati kebanyakan pemilik hanya mahu penyewa dalam kalangan penuntut wanita, sekali gus menyukarkan usahanya mendapatkan rumah sewa.

"Ada (rumah sewa) yang murah di Subang Jaya, tetapi terlalu jauh dengan kampus. Memang tidak dinafikan ada pengangkutan awam, tetapi ia akan memakan masa, wang dan sebagainya untuk ke kelas.

"Rata-rata pemilik rumah mengenakan deposit tinggi anggaran dalam RM3,000 ke atas untuk rumah kosong tanpa kelengkapan dan ada mencecah RM4,000 hingga RM5,000.

"Sebagai penuntut yang hanya bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN, jumlah (deposit) itu sangat membebankan sekalipun berkongsi dengan rakan serumah," katanya.

Katanya, pihak universiti mungkin boleh bekerjasama dengan pemaju di flat berhampiran kampus untuk dijadikan asrama buat penuntut jika kolej kediaman sedia ada tidak mencukupi.

KESUKARAN mencari rumah sewa membuatkan penuntut runsing kerana bakal memulakan pengajian semester baharu pada pertengahan bulan depan.
KESUKARAN mencari rumah sewa membuatkan penuntut runsing kerana bakal memulakan pengajian semester baharu pada pertengahan bulan depan.

Dapat rumah dekat, sewa pula mahal

Walaupun sudah mendapat rumah sewa, tetapi terpaksa pula berhadapan dengan sewa mahal, jarak jauh dan tiada pengangkutan untuk ke kampus.

Itu antara masalah penempatan yang membelenggu segelintir mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Penuntut dikenali sebagai Anuar, 22, berkata dia terpaksa mencari rumah sewa di Shah Alam selepas usaha memohon penempatan yang disediakan pihak universiti tidak berjaya namun sudah membuat rayuan.

Menurutnya, dia bersama tujuh rakan lain menyewa rumah kira-kira empat kilometer (km) saja dari kampus, tetapi mereka berhadapan dengan harga sewa agak mahal.

"Memang saya buat rayuan, tetapi belum tentu dapat lagi sebab itu terus ambil keputusan cari rumah sewa.

"Sewa sebulan adalah RM1,800 dan bagi penuntut seperti kami memang mahal dan membebankan. Perbelanjaan duduk di luar memang jauh berbeza berbanding tinggal di kolej kediaman," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, mereka juga terpaksa mengikat kontrak sewa rumah untuk setahun sedangkan tempoh pembelajaran untuk penuntut hanya enam bulan saja.

"Itu syarat yang diletakkan pemilik rumah dan mahu atau tidak kami terpaksa terima juga... kalau tak memang susah nak dapat rumah. Nak cari rumah sekarang memang susah sebab ramai penuntut cari rumah sewa," katanya.

Pelajar semester empat di UiTM Shah Alam dikenali sebagai Amsyar berkata, dia baru saja mendapat rumah sewa minggu lalu dan mengakui terlalu sukar mencari rumah terutama dalam tempoh singkat.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk tidak membuat rayuan kerana tidak mahu mengambil risiko selepas permohonan pertamanya gagal.

"Saya terus cari rumah sewa sebab tahu memang susah nak dapat kolej kediaman. Rumah sewa ini bukan hari ini kita cari terus dapat, memang azab nak cari rumah sewa di sini," katanya.

Katanya, dia menyewa bersama lima rakan lain dan sudah mendapat rumah sewa berhampiran universiti dengan sewa bulanan di bawah RM1,000.

"Saya dan rakan terpaksa mencari rumah kosong dan sewanya di bawah RM1,000

KPT cuba tangani dengan segera

Isu bebanan penuntut universiti awam (UA) yang menghadapi kesukaran mendapatkan penginapan luar kampus akan cuba ditangani segera.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya semalam memaklumkan akan terus memantau pentadbiran portal Rumah Sewa Siswa (RSS) bagi memastikan lebih banyak premis penyewaan tersenarai dengan kadar mampu milik untuk memenuhi keperluan penuntut menginap di luar kampus.

Ia terutama sebagai persediaan kemasukan Semester Akademik 1, Tahun 2022/2023 kelak.

KPT melalui kenyataannya semalam memaklumkan, pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat keperluan semasa penuntut terutama bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka yang tinggal di luar kampus terpelihara.

Menurutnya, atas dasar KPT Prihatin, kementerian itu melancarkan inisiatif Rumah Siswa pada 2021 yang turut merangkumi elemen penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) di semua universiti awam (UA) dan pembangunan Portal RSS yang boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my.

Katanya, portal itu berperanan menyediakan platform memudah cara usaha pelajar mencari dan mendapatkan kediaman rumah atau bilik sewa di sekitar kampus.

"Penyenaraian premis dalam portal ini dilaksanakan oleh pegawai UA sendiri yang bertanggungjawab meneliti dan memastikan kediaman yang dikenal pasti adalah kondusif bagi penginapan pelajar dari aspek kadar sewaan dan fasiliti yang disediakan termasuk keselamatan lokaliti premis," katanya.

Menurut KPT, sehingga 19 September lalu, seramai 29,000 pelajar dari seluruh negara sudah berdaftar bagi pencarian rumah sewa menerusi portal berkenaan.

Kenyataan ini turut menyebut, KPT menyarankan pihak UA menerusi UPLK terus menyantuni penuntut yang berkeperluan bagi mendapatkan penginapan di luar kampus supaya sebarang cabaran yang dihadapi dapat sentiasa dibantu dan dipermudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:00 PM