Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis mengenal pasti dua atau tiga lagi lelaki disyaki terbabit dengan kes penculikan ejen jualan kosmetik Rosnazira Mohd Naim oleh sekumpulan lelaki pada 13 September lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek yang dikenal pasti itu adalah rakyat tempatan dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

"Kita masih bekerjasama dan bertukar maklumat dengan polis Thailand berhubung kes ini.

"Kita juga memohon ekstradisi secara undang-undang terhadap suspek yang ditahan di Thailand," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu Acryl Sani menghadiri Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini. Hadir sama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Komander PPM Wilayah 1 Asisten Komisioner Shamsol Kassim.

Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, dengan kerjasama rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan polis Thailand berjaya menjejak dan mengesan mangsa dan membawanya pulang.

"Kerjasama erat antara dua pihak berkuasa dapat membantu menyelesaikan kes yang berlaku di negara asing," katanya.

Dalam kejadian jam 5.10 petang pada 13 September lalu, mangsa berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan.

TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini. FOTO Danial Saad
TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini. FOTO Danial Saad

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Daripada tujuh tangkapan sebelum ini, tiga daripadanya sudah dibebaskan manakala empat lagi masih ditahan bagi dijalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) akta culik 1961.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani PDRM sudah melakukan persediaan rapi dalam aspek keanggotaan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar dan tenteram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 1:58 PM