RUMAH penduduk di Kampung Sri Gambut di Pontian masih digenangi banjir termenung sejak kelmarin. FOTO Ihsan APM
RUMAH penduduk di Kampung Sri Gambut di Pontian masih digenangi banjir termenung sejak kelmarin. FOTO Ihsan APM
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Rumah sebahagian penduduk di Kampung Sri Gambut di pekan Nenas dan beberapa perkampungan sekitarnya di Pontian di sini masih digenangi banjir termenung sejak Ahad lalu.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor berkata, ia mengakibatkan mangsa banjir masih mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.

Menurutnya, buat masa ini seramai 32 mangsa membabitkan 10 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan.

Katanya, penghuni PPS berkenaan termasuk dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti.

"Segelintir mangsa tidak dapat pulang ke rumah kerana rumah mereka masih digenangi air termenung.

"Setakat ini mulai pagi hingga tengah hari tadi cuaca agak cerah namun kini cuaca mendung," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Secara keseluruhannya seramai 74 mangsa membabitkan 21 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di seluruh Johor.

Ia termasuk 42 mangsa membabitkan 11 keluarga dari Kampung Sungai Linau ditempatkan di PPS Sungai Linau.

PPS SK Sri Kampung Renggam di Kluang ditutup pada 2 petang hari ini selepas banjir di kawasan berkenaan pulih.

Beberapa daerah di Johor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat melebihi dua jam Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 5:47 PM