SATU lagi PPS dibuka di Segamat. FOTO APM Johor
SATU lagi PPS dibuka di Segamat. FOTO APM Johor
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Segamat menjadikan keseluruhan tiga PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di daerah itu.

Sehingga jam 8 malam, hanya Segamat masih dilanda banjir apabila 54 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS, selepas banjir di Mersing dilaporkan pulih jam 6 petang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir menunjukkan trend meningkat berbanding 33 individu daripada sembilan keluarga pada 6.30 petang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, PPS baharu yang dibuka adalah di Dewan Komuniti Taman Tasek yang menempatkan lima penduduk Kampung Seberang Batu Badak terdiri daripada dua keluarga.

Katanya, PPS Balairaya Kampung Batu Badak menempatkan 41 penduduk Kampung Seberang Batu Badak terdiri daripada 11 keluarga.

"PPS Balairaya Kampung Jabi pula menempatkan lapan sekeluarga dari Kampung Sermin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin sudah ditutup sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor memaklumkan laluan masuk ke Kampung Orang Asli Peta di Mersing itu masih terputus hubungan.

Selain itu, dua lagi laluan iaitu masing-masing di Jalan Jabi - Bukit Tempurung, Segamat hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja, manakala Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang hanya dibuka satu lorong akibat cerun runtuh.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di empat daerah kawasan di Johor iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.

Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sementara, paras air Sungai Lenik di Segamat melepasi aras amaran, manakala Sungai Sayong di Kulai serta Sungai Skudai di Kulai dan Johor Bahru sudah melepasi aras waspada.

Semua daerah di Johor juga dilaporkan hujan kecuali mendung di Kluang dan Kota Tinggi, manakala cerah di Mersing setakat jam 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 9:12 PM