Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini tampil menegaskan penggantungannya selama enam tahun oleh Umno baru-baru ini 'bukan gantung mati'.

Dalam nada sinis, Tajuddin sebaliknya mendakwa dia masih ahli Umno, demikian jelasnya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

"Kalau nak gantung, gantung bagi mati, itu OK. Kalau tak mati, nanti takut dia hidup balik," katanya disambut ketawa ahli dewan, lapor BH Online.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian), yang kebetulan duduk di sebelahnya, kelihatan tersenyum lebar.

Beliau dilaporkan digantung daripada parti selepas diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kertas Tertinggi (MKT) Umno, Jumaat lalu.

 Tajuddin
Tajuddin

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mengeluarkan kenyataan itu apabila dia diganggu ketika sesi soalan lisan.

Tajuddin mengemukakan soalan tambahan mengenai cabaran ekonomi di negara ini, masalah pengeluaran seperti yang dihadapi oleh industri elektrik dan elektronik.

Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mencelah dan bertanya sama ada Tajuddin akan bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

"Itu tiada masalah, kita masih Umno. (Tindakan) gantung itu bukan gantung mati. Apa ada masalah?," katanya.

Pada Jun lalu, Tajudin disingkirkan daripada MKT kerana menggelar presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai 'liabiliti' dan menuntut peletakan jawatannya daripada jawatan tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 12:54 PM