DATUK Seri Syed Hussian Aljunid menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke-23. FOTO EZAIRI SHAMSUDIN
DATUK Seri Syed Hussian Aljunid menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke-23. FOTO EZAIRI SHAMSUDIN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Mahasiswa perlu diterapkan dengan ilmu dan kemahiran tinggi dalam usaha melahirkan graduan yang mampu bersaing dengan cabaran Revolusi Perindustrian ke-4 (IR 4.0).

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, ilmu dan kemahiran tinggi itu bersesuaian perubahan dalam permintaan pekerjaan disebabkan perkembangan teknologi sebagaimana

laporan Future of Jobs Survey, World Economic Forum (WEF) 2020.

"Ini menunjukkan pekerjaan terbaharu bakal mengambil alih pasaran kerja dunia seperti robotik, Artificial Intelligence (AI), saintis data raya dan transformasi digital yang akan menggantikan pekerjaan semasa seperti kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit.

"Pada masa sama, mahasiswa perlu ditetapkan elemen 4C iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity.

"Mahasiswa juga perlu menguasai aspek kepimpinan, keusahawanan, kerja berpasukan, pembelajaran berterusan, pengurusan maklumat serta etika dan moral profesional sekali gus berupaya menghadapi perubahan global yang kini menuju ke arah Revolusi Perindustrian ke-5 (IR 5.0)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Kali Ke-23 yang turut dihadiri Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail, di sini hari ini.

Di peringkat industri pula katanya, pihak industri komited bersama kerajaan bagi membantu institusi pengajian tinggi (IPT) dalam memenuhi keperluan kurikulum berpacu industri dan tersedia masa hadapan.

"Oleh itu, bagi memastikan kurikulum politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, kurikulum berteraskan industri dibangunkan dengan pembabitan pihak industri secara aktif.

"Di samping itu, industri juga sentiasa memberi sokongan melalui perkongsian teknologi dan kepakaran bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan.

"Pembelajaran berasaskan industry-led seperti program WBL@PolyCC, Structured Internship Programme (SIP), CEO@PolyCC dan Industry on Campus (IOC) yang diperkenalkan di peringkat politeknik sangat realistik dan berupaya melahirkan graduan holistik yang memenuhi kehendak industri," katanya.

Syed Hussain juga berkata keputusan graduan memilih politeknik khususnya PSA sebagai laluan melanjutkan pelajaran adalah satu tindakan tepat memandangkan graduan TVET sememangnya menjadi rebutan pihak industri.

"Syabas kepada graduan sekalian. Semoga kecemerlangan saudara dan saudari diteruskan dan dikembangkan apabila memasuki pasaran kerja kelak sekali gus memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

"Tahniah kepada PSA atas kejayaan mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi iaitu 94.7 peratus bagi tahun lalu. Kadar ini sangat membanggakan terutamanya ketika kita masih dalam peringkat pemulihan akibat pandemik Covid-19 di samping keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini," katanya.

Pada masa sama, beliau megucapkan tahniah kepada 1,684 graduan yang menerima ijazah sarjana muda, diploma dan sijil penganugerahan masing-masing pada kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 2:56 PM