Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis akan menyerahkan kertas siasatan sekali gus menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes cubaan menculik murid perempuan yang didakwa berlaku di hadapan sekolah kebangsaan di Taman Pinji Mewah di sini, yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, selain kertas siasatan kes cubaan menculik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) yang sedang dilengkapkan, pihaknya juga akan menunggu arahan daripada TPR sama ada untuk mendakwa ibu bapa murid berkenaan mengikut Seksyen 182 KK iaitu mengemukakan laporan palsu atau sebaliknya.

"Jadi sekarang kita dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan kes penculikan itu dan akan melihat dari pelbagai sudut, serta jika ada cadangan daripada TPR untuk mendakwa ibu bapa murid berkenaan kerana membuat laporan palsu.

"Jika ada cadangan untuk kita mendakwa ibu bapa kepada murid ini sebab buat laporan palsu, maka kita akan buat (siasatan). Kita akan serahkan kepada TPR untuk arahan dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Kanan PDRM, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Mohd Yusri dilapor berkata, kes cubaan culik berkenaan disahkan adalah tidak benar dan hanya rekaan kanak-kanak terbabit selepas hasil siasatan terperinci dilakukan terhadap kanak-kanak berusia 9 tahun itu bersama beberapa saksi.

Beliau dilapor berkata, kanak-kanak itu hanya mereka cerita kepada ibunya kerana terpengaruh dengan kejadian di luar negara yang ditularkan di media sosial memgenai kejadian kanak-kanak ditangkap, diculik dan dijual organ.

Mengenai Majlis Serah Terima Tugas, ia membabitkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Annuar Othman yang ditukarkan menjawat Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Jawatan Ketua JSJ Perak seterusnya diambil alih oleh Ketua Unit Penguatkuasaan Seksyen Wang Awam II, Bahagian Dasar Saraan Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Kementerian Kewangan, Asisten Komisioner Luqman Abdul Rahman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Selain Annuar, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat turut ditukarkan menjawat Ketua Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Dasar Startegik), Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Majlis turut menyaksikan Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid dinaikkan ke jawatan Ketua Polis Daerah Taiping dengan memangku pangkat Asisten Komisioner menggantikan Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 2:23 PM
MOHD Yusri (tengah) menyaksikan sesi serah terima tugas antara Osman (kiri) dan Razlam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHD Yusri (tengah) menyaksikan sesi serah terima tugas antara Osman (kiri) dan Razlam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri