Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menumpaskan sindiket peras ugut penyebaran video bogel menerusi media sosial membabitkan kerugian dianggarkan RM300,000 dengan penahanan 14 individu baru-baru ini.

Kesemua individu berusia 23 hingga 60 tahun itu ditahan menerusi operasi khas yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada 16 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka ditahan di Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati kesemua individu itu adalah pemilik akaun yang digunakan dalam sindiket dan turut mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Dari Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 76 laporan polis diterima di seluruh Pulau Pinang membabitkan sindiket ini yang mangsanya terdiri daripada 72 lelaki dan empat wanita yang mana seorang daripadanya adalah warga Indonesia.

"Kebanyakan mangsa bekerja sebagai penjawat awam, pekerja swasta, penganggur dan lain-lain dengan kerugian paling banyak membabitkan nilai RM69,000

"Berikutan tangkapan suspek, kita percaya sebanyak 12 kes di Pulau Pinang dan masing-masing 27 kes di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Johor juga berjaya diselesaikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menerusi operasi itu, polis turut merampas sebanyak 13 telefon bimbit pelbagai jenama, lapan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan sebuah buku akaun bank.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, sindiket itu menjadikan individu yang melayari laman sosial sebagai mangsa dengan menawarkan perkhidmatan seks serta menggunakan aplikasi seperti WeChat, Facebook, WhatsApp, MiChat dan Line.

Katanya, mangsa akan diajak bagi membuat panggilan video serta mempamerkan aksi lucah selain memperdaya mangsa melakukan aksi ghairah yang dirakam tanpa sedar.

"Suspek yang ditahan terdiri daripada pekerja swasta, pelajar, penganggur dan suri rumah.

"Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak melanggan laman sosial berunsur maksiat atau persundalan supaya tidak menjadi mangsa terhadap aktiviti seumpamanya yang bijak memanipulasi kesalahan dengan mengugut mangsa.

"Orang ramai juga perlu bijak menggunakan kecanggihan teknologi berikutan platform itu yang terbuka kepada aktiviti jenayah tanpa sempadan," katanya.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 3:04 PM