Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis Pulau Pinang membongkar sindiket judi dalam talian yang menjadikan kondominium mewah sebagai pusat operasi menerusi dua serbuan berasingan di sini, Jumaat lalu.

Serbuan menerusi Op Dadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium mewah di Persiaran Gurney di sini, pada jam 5.25 petang dan menahan 10 lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 31 tahun.

Manakala serbuan kedua pada masa sama pula dilakukan di unit kondominium mewah di Jalan Kelawei di sini dan menahan sembilan lelaki dan seorang wanita berusia 16 hingga 27 tahun.

"Mereka disyaki bekerja sebagai ejen yang mempromosikan sindiket perjudian dalam talian dengan bayaran gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

" Malah mereka turut menerima komisyen sebanyak lima peratus sekiranya pelanggan yang kalah dalam permainan judi itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

MOHD Shuhaily (dua kanan) menunjukkan antara barangan beberapa kes yang dirampas ketika sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
MOHD Shuhaily (dua kanan) menunjukkan antara barangan beberapa kes yang dirampas ketika sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, sindiket berkenaan aktif dalam mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian sejak pertengahan Disember tahun lalu.

Katanya, didapati kedua-dua unit kondominium itu disewa itu beroperasi antara jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari untuk 'memancing' pelanggan menerusi aplikasi seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.

"Kita turut mengesan modus operandi baharu sindiket itu yang membuat pertaruhan sendiri, bukan dengan pihak ketiga dan kita akan merujuk kepada Bukit Aman mengenai kaedah ini.

"Polis turut merampas 85 telefon bimbit, 18 komputer riba, lapan set desktop komputer, 49 kad sim dan dua kereta Honda dalam serbuan itu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4 (1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1) (c) akta yang sama.

Individu berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 3:18 PM