DATUK Ewon Benedick (tengah) bersama Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau (dua kanan) pada sidang media pengumuman presiden baharu parti itu di Penampang. FOTO ihsan UPKO
DATUK Ewon Benedick (tengah) bersama Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau (dua kanan) pada sidang media pengumuman presiden baharu parti itu di Penampang. FOTO ihsan UPKO
Izwan Abdullah


Penampang: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick diumumkan sebagai presiden baharu parti itu.

Pengumuman dibuat presidennya sebelum ini, Datuk Madius Tangau pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti itu, di sini, petang ini.

Madius mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO yang dijadual berlangsung pada 15 dan 16 Oktober depan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan tertinggi UPKO itu pada pemilihan yang diadakan sempena persidangan berkenaan.

Pada sidang medianya, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, keputusan itu sejajar dengan situasi semasa khususnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.

"Kita sedia maklum bahawa keadaan politik negara kini adalah tidak stabil dan PRU-15 semakin hampir.

"Atas dasar itu, saya melihat UPKO perlu menyusun strategi baharu untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dalam keadaan politik yang tidak menentu ini.

"Untuk itu, UPKO akan mengetengahkan barisan kepemimpinan baharu dengan perspektif segar dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip asas perjuangan parti," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu sudah dipersetujui dan dilaksanakan setelah menilai tahap kesediaan pemimpin baharu yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menerajui UPKO.

Madius berkata, beliau yakin kepemimpinan baharu yang bakal diterajui Ewon akan memastikan UPKO terus fokus dan komited sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hal ehwal politik serta kepentingan rakyat.

Katanya, selepas ini beliau akan memegang jawatan Presiden Kehormat UPKO yang baharu menggantikan Tan Sri Bernard Dompok selepas diberi kepercayaan oleh kepemimpinan UPKO.

Menurutnya, selain jawatan presiden, turut tiada pertandingan ialah jawatan timbalan presiden yang kini disandang Datuk Donald Peter Mojuntin.

Madius menjadi Presiden UPKO selepas Dompok menyerahkan jawatan itu pada 2014.

Ketika PRU-14 pada 2018, Madius dilabel sebagai punca kejatuhan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di Sabah selepas membuat keputusan membawa UPKO keluar BN dan menyokong Parti Warisan untuk membentuk kerajaan baharu bersama Pakatan Harapan (PH).

UPKO adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang ketika ini menjadi komponen PH bersama DAP, Amanah dan PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 6:01 PM