GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi


Seremban: Selepas pengalaman kejadian banjir besar yang melanda beberapa daerah di negeri ini pada Disember hingga Januari lalu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan kini lebih bersedia menghadapi bencana itu.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Mejar (PA) Shamil Ithman berkata, selaku Seketariat Pengurusan Bencana Negeri, APM sudah bermesyuarat dengan agensi yang terbabit bagi membincangkan persediaan menghadapi banjir.

"Antara persediaan APM, kami sudah mengadakan mesyuarat pengurusan bencana di peringkat negeri bagi menghadapi bencana itu.

"Butiran yang ditekankan ketika perjumpaan adalah kemas kini aset dan kekuatan anggota di setiap ahli mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang akan terbabit dengan bencana berkenaan," katanya.

Beliau berkata, seramai 6,053 anggota dari pelbagai agensi akan bersiap sedia untuk persiapan bencana manakala di peringkat APM sendiri adalah seramai 1,135 anggota dan pegawai.

"Dari segi aset yang boleh digerakkan JPBN ketika ini adalah 82 buah bot dan 500 jentera darat pelbagai jenis.

"Dari segi latihan yang dilaksanakan kami melakukan pelbagai bentuk latihan antaranya webinar, lawatan kawasan sasaran penting, latihan di lapangan (FTX) dan Table Top Exercise (TTX)," katanya.

Banjir di Negeri Sembilan yang lalu menyaksikan penduduk terutama di Jelebu yang kehilangan rumah akibat dihanyutkan air selain kemusnahan infrastruktur dan harta benda.

Untuk rekod bencana banjir yang lalu, sebanyak 44 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bermula 18 Disember 2021 di tujuh daerah di negeri ini membabitkan Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Seremban, Nilai dan Tampin.

Sementara itu, jumlah mangsa secara kumulatif direkodkan seramai 3,627 orang daripada 957 keluarga di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 11:28 AM