Ahmad Ismail. FOTO Nor Amalina Alias
Ahmad Ismail. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: "Saya memuat naik status (hantaran FB) mengenai cubaan culik anak untuk peringatan ibu bapa di luar sana supaya lebih peka," kata Ahmad Ismail, 57, yang berkongsi di Facebook mengenai cubaan culik anaknya di hadapan sekolah di sini, semalam.

Perkongsian Ahmad tular di media sosial, malah ada pihak sekolah turut mengeluarkan notis mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar berwaspada serta mengambil anak awal, sejurus sesi persekolahan berakhir.

Sebelum itu, anak lelaki Ahmad yang juga murid tahun dua mendakwa didekati lelaki tidak dikenali yang mengajaknya menaiki kereta ketika dia sedang menunggu dijemput ahli keluarga di hadapan sekolah.

Dakwa kanak-kanak berusia lapan tahun itu, terdapat empat lelaki di dalam kenderaan berkenaan.

"Malam tadi (semalam) anak mengadu kepada ibunya, (kejadian) ketika dia tunggu kakaknya ambil (jemput) selepas kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) jam 4.30 petang.

"Seorang lelaki menaiki kereta mahu mengambil dia. Lelaki itu beritahu yang kami tidak dapat datang (jemput) sebab ke klinik.

"Tetapi anak bertindak melarikan diri ke pondok pengawal keselamatan sekolah. Anak kata dia debar (takut) sebab orang tak kenal ajak dia balik namun saya bersyukur anak tidak trauma dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui.

Susulan itu, Ahmad membuat laporan di Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Pasir Puteh, hari ini.

Menurutnya, perkongsian itu tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sekadar menzahirkan kebimbangan dan mengingatkan ibu bapa agar sama-sama menjaga keselamatan anak.

Katanya, dia juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan berharap jenayah sebegitu dapat ditangani hasil kerjasama semua pihak.

Sejak dua hari lalu, penduduk Kelantan gempar dengan hantaran tular di media sosial yang mendakwa berlaku cubaan culik pelajar sekolah antaranya di Machang, Melor, Bachok dan Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 9:45 PM