DR Andrew Kent yang menerima anugerah Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery memberi ucapan semasa majlis Tuanku Muhriz Travelling Fellowship Lecture di Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Scotland. FOTO UKM
DR Andrew Kent yang menerima anugerah Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery memberi ucapan semasa majlis Tuanku Muhriz Travelling Fellowship Lecture di Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Scotland. FOTO UKM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Pengerusi Faculty of Remote, Rural and Humanitarian Healthcare, Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) di Scotland Prof Dr Andrew Kent menjadi pakar perubatan kedua menerima anugerah Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam satu kenyataan memaklumkan perunding pembedahan ortopedik dan trauma di Scotland itu, yang juga Pengarah Pembedahan di UK-Med sentiasa terbabit dalam latihan dan kerja kemanusiaan seperti merawat pesakit di beberapa kawasan bergolak di seluruh dunia.

"Pada 2021, beliau berjaya menyelesaikan tugasan di Mosul, Iraq dengan membantu rakan sekerja menguruskan orang awam yang cedera di medan perang, malah baru-baru ini beliau terbabit dalam misi kemanusiaan dan perubatan di Ukraine.

"November ini, beliau akan ke Sabah untuk mendapatkan pemahaman lebih mendalam tentang pengurusan kes trauma di Borneo dan berkongsi mengenai perancangan bencana serta meneroka kawasan pedalaman yang akan diberikan rawatan pembedahan," menurut kenyataan itu.

Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery ialah program kerjasama strategik antara RCSEd dengan UKM dan fellowship itu dianugerahkan oleh the Royal College of Surgeons of Edinburgh dalam bentuk program dengan kerjasama UKM dan Kementerian Kesihatan (KKM) selari dengan inisiatif Global Surgery KKM.

Program fellowship itu diperkenankan penubuhannya oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM ketika pembukaan Pejabat Antarabangsa RCSEd pada 17 Januari 2018 di Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), UKM.

Fellowship itu dianugerahkan kepada pakar bedah kanan dari United Kingdom ke Malaysia, untuk menimba pengalaman penjagaan kesihatan luar bandar yang menyediakan perkhidmatan pembedahan kepada masyarakat terpinggir.

Penerima juga akan terbabit dalam sesi pengajaran dan latihan kepada pegawai perubatan dan staf kesihatan di klinik kesihatan luar bandar.

Berangkat ke majlis penganugerahan yang berlangsung di RCSEd, Scotland baru-baru ini bersempena dengan Tuanku Muhriz Travelling Fellowship Lecture ialah Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud selain dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 11:51 AM