ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai. FOTO arkib NSTP
ASISTEN Komisioner Beh Eng Lai. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 16 'peneman' warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan, Kepong, di sini, semalam.

Dalam serbuan dijalankan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 10.50 malam itu, polis turut memeriksa 50 pelanggan yang berhibur ditemani warga asing berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun dipercayai penjaga premis terbabit.

"Semua wanita warga asing itu berusia 23 hingga 30 tahun adalah pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan terbabit.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati premis berkenaan adalah premis pusat hiburan yang menjalankan perniagaan tanpa lesen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis merampas peralatan audio yang digunakan dan sekeping resit pembayaran.

"Semua warga asing berkenaan dibawa ke IPD Sentul untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 3:01 PM