MOHD Radzi (kanan) dan pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki. FOTO Nur Izzati Mohamad.
MOHD Radzi (kanan) dan pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki. FOTO Nur Izzati Mohamad.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Penahanan lelaki yang dipercayai ahli kongsi gelap di hadapan kedai makan di Mak Mandin di sini, semalam membawa kepada penemuan sepucuk pistol dan kelopak yang mengandungi empat peluru.

Senjata api itu ditemui terselit pada pinggang kiri suspek berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya sebelum itu mengesan suspek yang membantu Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan dan menahannya.

"Pemeriksaan badan suspek menemui pistol jenis Zoraki itu kelopak peluru, manakala pemeriksaan dalam kenderaan menemukan sebilah parang, keris, pisau lipat, pisau bersarung dan kapak kecil yang terletak di bawah tempat duduk pemandu, selain dua paket kecil lutsinar dipercayai dadah jenis ganja dan syabu.

"Suspek ditahan dan kesemua barangan berkenaan dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, semakan turut mendapati suspek adalah individu yang dikehendaki polis susulan kes merusuh di Klang, Selangor yang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan dadah yang ditemui itu adalah untuk kegunaannya sendiri.

"Suspek juga dipercayai terlibat dalam pekerjaan membabitkan mata wang kripto jenis Bitcoin," katanya yang memberitahu suspek kini direman tujuh hari hingga Isnin depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 5:09 PM