HELIKOPTER ditemui di hutan selepas hilang dari radar sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. FOTO ihsan Bomba
HELIKOPTER ditemui di hutan selepas hilang dari radar sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. FOTO ihsan Bomba
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Isteri kepada juruterbang yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Bidor masih berada di luar negara dan dijangka tiba di Malaysia dalam masa terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan, hari ini berkata, PDRM Perak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Berikutan daripada kes kehilangan sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B di Hutan Simpan Chikus, Bidor, bedah siasat ke atas mangsa diijalankan 9 pagi hari ini bertempat di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh," katanya menerusi kenyataan sama.

Mohd Yusri berkata, pihak polis juga sudah mengaturkan kawalan rapi di tempat kejadian nahas sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Biro siasatan kemalangan Udara dan Bahagian Forensik PDRM yang bermula hari ini.

"Helikopter berkenaan kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan seterusnya," katanya.

Juruterbang helikopter warga Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan, 58, dipercayai meninggal dunia di lokasi nahas.

Mendiang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, kelmarin, dan ditemukan meninggal dunia, semalam.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 1:12 PM