GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Sibu: Tindakan dua lelaki membeli selaras senapang patah, 12 butir peluru, kain Pua Kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban daripada seorang pencuri, yang memecah masuk sebuah rumah di Sibujaya, di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 45 dan 54 tahun itu ditahan susulan tangkapan ke atas pencuri terbabit.

"Polis berjaya menjumpai dan merampas kesemua barang yang dilaporkan hilang oleh mangsa.

"Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada mangsa pada 10.16 malam, 13 Ogos lalu, mendakwa rumahnya dipecah masuk ketika mereka sekeluarga bercuti di Miri.

Antara barang yang hilang adalah selaras senapang patah SBBL 12 Bore, 12 butir peluru senapang patah pelbagai jenis, Pua Kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban.

Susulan itu, Zulkipli berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu berjaya menangkap suspek, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 tahun.

"Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki kerana bertindak sebagai pembeli barang yang dicuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:10 PM