Mohd Nazrol berada di hadapan rumahnya yang dinaiki air di Kampung Padang Empang di sini, malam tadi. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Mohd Nazrol berada di hadapan rumahnya yang dinaiki air di Kampung Padang Empang di sini, malam tadi. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Baling: "Saya terpaksa berenang menyeberangi arus deras untuk selamatkan tiga adik dan seorang jiran yang terperangkap malam tadi, mujur nyawa kami semua masih panjang," kata Mohd Nazrol Ramli, 30.

Mangsa banjir di Kampung Padang Empang di sini berkata ketika kejadian dia sedang sibuk memindahkan kelengkapan rumah kerana bimbang kediamannya dinaiki air susulan hujan lebat pada jam 6 petang semalam.

"Kami sekeluarga tak sempat alihkan semua barang, kira-kira jam 7 malam air deras tiba-tiba datang dan membentuk dua laluan sungai baharu menyebabkan rumah saya dan enam rumah lagi berdekatan terkepung air deras.

"Ketika itu, kami empat beradik lelaki dan seorang jiran perempuan terkepung dan dalam masa sama penduduk menjerit meminta kami keluar dari rumah kerana bimbang rumah dirempuh kayu balak hanyut," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Mohd Nazrol berkata dia sempat naik ke bumbung rumahnya untuk mencari liputan dan menghantar pesanan menerusi WhatsApp kepada keluarganya memaklumkan dia dan empat lagi terperangkap namun selamat.

Selepas itu, katanya dia berenang mengikut arus dan berpaut pada pokok pinang sebelum berjaya mengambil tali pada ampaian dan mengikat pada pokok sebelum berenang kembali rumahnya.

"Seorang demi seorang saya bantu menyeberang arus banjir jam 8 malam, kami semua selamat menyeberangi sungai menerusi jambatan kecil di Sungai Kupang yang berada di hadapan rumah," katanya.

Mohd Nazrol, berkata mujurlah ketika terperangkap, isterinya, Illiyani Che Mee, 32, dan anak mereka, Nor Ammara Faeqa, 1, terlebih dahulu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang.

Katanya, ketika menyeberangi arus deras dia tidak memikirkan perkara lain kecuali tentang nyawa sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 4:14 PM