Safuri Kamarudin

Baling: Hujan lebat lebih sejam menyebabkan Sungai Kupang dinaiki air sehingga melimpah Jambatan Bailey di Kampung Iboi, petang tadi.

Hujan lebat sekitar jam 5 petang menyebabkan air sungai itu melimpah dengan cepat selepas dipercayai tebing pasir pecah dihanyutkan air deras.

Berikutan kejadian itu, Jambatan Bailey terputus hubungan dan penduduk diminta berjaga-jaga.

Setiausaha Jawatankuasa Komuniti Kampung Iboi, Mohamad Nor Che Husain,59, berkata penduduk diminta berjaga-jaga kerana hujan masih turun di Gunung Inas.

"Arus deras Sungai Kupang sehingga melepasi paras titi itu dan berharap penduduk berhati-hati kerana cuaca gelap.

"Sekiranya air masih deras atas jambatan itu penduduk dinasihat tidak melaluinya kerana bimbang kejadian buruk berlaku," katanya.

JAMBATAN Bailey di Kampung Iboi dilimpahi air deras akibat hujan lebat petang ini. FOTO Ihsan Pembaca
JAMBATAN Bailey di Kampung Iboi dilimpahi air deras akibat hujan lebat petang ini. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab.Aziz berkata, anggotanya sudah bergerak ke lokasi bagi membantu sekiranya ada rumah penduduk dinaiki air.

Menurutnya, pihaknya bimbang kerana cuaca waktu malam dan berlaku tragedi seperti 4 Julai lalu.

"Setakat ini tiga kampung di Mukim Kupang dinaiki air iaitu Kampung Iboi, Tanjung Nering dan Padang Empang.

"Bagaimanapun anggota sedang membantu penduduk dan jumlah mangsa dalam bancian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 8:58 PM