FOTO hiasan
FOTO hiasan
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kes memeras ugut video bogel seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pada Julai lalu pihak polis menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 26 tahun menyatakan dia menerima panggilan telefon dan diugut oleh seorang lelaki.

"Laporan berkenaan menyatakan mangsa berkenaan diugut oleh seorang lelaki untuk menyebarkan video bogel milik mangsa jika tidak membayar sejumlah wang.

"Mangsa kemudiannya berasa takut dan bertindak memindahkan wang sebanyak RM1,900 ke dalam akaun suspek," katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, susulan daripada itu, polis mengesan dan menangkap suspek di Jalan Klang Lama hasil bantuan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield.

"Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun berasal daripada Kuala Lumpur.

"Semalam suspek dibawa ke IPD Batu Pahat untuk siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

"Suspek ditahan reman selama dua hari hingga Khamis ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai sepuluh tahun atau denda ataupun sebat," katanya.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan video aksi lucah oleh pemanggil yang tidak dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 1:13 PM