Roselan Ab Malek


Jerantut: Spesies baung ekor merah yang kini membiak secara berleluasa di sepanjang Sungai Pahang dari Lipis hingga ke Pekan menjejaskan pendapatan nelayan sungai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, ia turut mengurangkan sumber ikan tempatan bermutu tinggi seperti seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampan, tenggalan, kerai, terbul, sebarau, baung serta udang galah.

Katanya, seramai 1,106 orang nelayan sungai termasuk 610 orang nelayan sungai dari daerah Jerantut terjejas dengan kehadiran spesies itu.

"Baung ekor merah atau nama saintifiknya 'Hemibagrus wyckioides' berasal dari Sungai Mekong, Vietnam kini menjadi ancaman utama kerana ia mampu membesar sehingga 130 sentimeter dengan berat maksima mencecah 80 kilogram.

"Ia adalah jenis ikan keli terbesar di Asia dan sejenis ikan air tawar kategori pemangsa agresif dan makan hampir semua jenis ikan di habitatnya," katanya selepas menutup program 'Moh Buru Baung Ekor Merah' di Jerantut Feri Waterfront kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengarah Perikanan Pahang, Muhammad Nur Ashry Bassari.

Katanya pihaknya berharap usaha memburu spesies itu di Sungai Pahang yang pertama kali diadakan dapat memberi kesedaran kepada nelayan sungai ancaman ikan itu dan mengurangkan pembiakannya.

Menurutnya, Jabatan Perikanan tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah ini bagi tujuan penternakan ikan sangkar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 12:38 PM
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris melihat ikan baung ekor merah yang berjaya  ditangkap nelayan sungai ketika  menutup program  'Moh Buru Baung Ekor Merah'  di Jerantut Feri Waterfront hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris melihat ikan baung ekor merah yang berjaya ditangkap nelayan sungai ketika menutup program 'Moh Buru Baung Ekor Merah' di Jerantut Feri Waterfront hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK