Ahmad Hasbi

Nilai: Rahsia sebuah gudang di kawasan sunyi dan seolah-olah terbiar berdekatan Kampung Orang Asli Broga, Jalan Broga di sini, terbongkar selepas serbuan pihak berkuasa mendapati dia dijadikan kilang memproses arak secara haram membabitkan rampasan bernilai RM4 juta minggu lalu.

Malah, pintu hadapan gudang berkenaan tidak digunakan dan pekerja yang terdiri daripada warga asing hanya keluar masuk menggunakan pintu rahsia di bahagian belakang sekali gus seolah-olah tiada sebarang aktiviti di premis itu.

Selain keadaan di dalam premis yang tidak bersih, pekerja warga asing terbabit turut menjadikan ia sebagai tempat tinggal yang dilengkapi dapur, tandas dan tempat tidur.

Bagaimanapun, selepas kira-kira dua tahun beroperasi, kilang arak berkenaan diserbu polis pada 24 Ogos lalu dan merampas pelbagai arak dan peralatan memproses minuman keras itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, tiga lelaki warga Myanmar ditahan ketika serbuan manakala dua lagi lelaki tempatan ditahan pada 30 Ogos susulan siasatan lanjut dan semua suspek berusia 31 hingga 36 tahun.

"Serbuan jam 5.30 petang 24 Ogos lalu dilakukan pasukan Cawangan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan diketuai Deputi Superintendan Zainan Azili Abdul Latiff.

RUSLAN (tengah) menunjukkan peralatan yang dirampas dari sebuah kilang memproses arak haram di Kampung Orang Asli Broga. FOTO Ahmad Hasbi
RUSLAN (tengah) menunjukkan peralatan yang dirampas dari sebuah kilang memproses arak haram di Kampung Orang Asli Broga. FOTO Ahmad Hasbi

"Gudang itu disyaki memproses arak secara haram. Hasil serbuan turut merampas 22,848 tin minuman beralkohol dianggarkan bernilai RM18,748 serta peralatan memproses arak yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4 juta," katanya ketika sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, kilang itu menjalankan operasi memproses arak selama kira-kira dua tahun dan menggajikan seramai 12 pekerja warga asing.

Mengulas lanjut, Ruslan berkata, berdasarkan rekod rampasan itu adalah yang terbesar dan kali pertama dilakukan di Negeri Sembilan.

"Sindiket memproses dari mula iaitu menghasilkan arak sehingga ke pembungkusan dan difahamkan untuk pasaran tempatan dan dieksport ke luar negara.

"Sebelum ini gudang ini didaftarkan sebagai stor dan pemiliknya sudah meninggal dunia sebelum disewakan. Namun, ia kelihatan seolah-olah gudang terbiar jika dilihat dari luar bagi menyembunyikan kegiatan haram mereka," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan suspek direman sehingga 5 September bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 2:52 PM