DR Hamidah tekad tabur bakti dalam meningkatkan kesihatan, pemandirian pesakit leukemia kanak-kanak
DR Hamidah tekad tabur bakti dalam meningkatkan kesihatan, pemandirian pesakit leukemia kanak-kanak
Fairul Asmaini Mohd Pilus

PENGALAMAN melihat sendiri penderitaan dialami pesakit kanser kanak-kanak terutama leukemia selain kadar kematian tinggi akibat komplikasi benar-benar menyentuh hati Profesor Dr Hamidah Alias.

Ia turut mendorong ibu kepada tiga cahaya mata lelaki itu memilih bidang perubatan pediatrik dengan kepakaran dalam bidang hematologi dan onkologi pediatrik.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu bukan calang-calang wanita kerana beliau kini antara pakar perunding kanan pediatrik hematologi dan onkologi terkemuka di negara ini.

Kepakaran beliau dalam bidang hematologi dan onkologi pediatrik sememangnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Menurut Dr Hamidah, leukemia adalah kanser paling lazim dalam kalangan kanak-kanak dan keenam paling biasa dalam kalangan orang dewasa di Malaysia.

Menurut data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada 2020, kematian leukemia di Malaysia mencecah 1,412 atau 0.84 peratus daripada jumlah kematian.

"Namun, ada perkembangan ketara dalam pemahaman dan rawatan untuk leukemia sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya pada majlis Syarahan Perdana Profesor, Leukemia Kanak-kanak: Rawatan dan Pemandirian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor baru-baru ini.

DR Hamidah pada program Semarak Kesihatan Kemerdekaan di HPKK, baru-baru ini.
DR Hamidah pada program Semarak Kesihatan Kemerdekaan di HPKK, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Datuk Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Mengimbau sejarah awal pembabitan beliau dalam bidang perubatan, Dr Hamidah adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan UKM.

Selepas menamatkan pengajian, beliau mula berkhidmat di Hospital Umum Sarawak, Kuching dan seterusnya di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban serta Hospital Kuala Pilah, Negeri Sembilan, sebagai doktor perubatan.

Demi memenuhi cita-cita dan minat menjadi pakar pediatrik, beliau seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Perubatan Pediatrik di fakulti perubatan universiti sama.

"Selepas tamat pengajian, saya ditawarkan menjadi pensyarah perubatan di UKM, seterusnya memulakan kerjaya sebagai pendidik, penyelidik dan memberikan perkhidmatan klinikal sebagai pakar pediatrik" katanya.

Beliau turut melanjutkan pengajian subkepakaran Hematologi dan Onkologi Pediatrik di Children's University Hospital, Zurich dan Sir James Spence Institute, Royal Victoria Infirmary, Newcastle upon Tyne, England.

Sepanjang bertugas di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr Hamidah bersama rakan pakar dan mentor beliau, Profesor Datuk Dr A Rahman A Jamal aktif melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperbaiki mutu perkhidmatan rawatan kanser kanak-kanak terutama penyakit leukemia.

Jelas beliau, antara cabaran dan kekangan yang dihadapi pada waktu itu adalah kekurangan pakar onkologi pediatrik dan jururawat terlatih.

Selain itu, tiada panduan khusus amalan klinikal perawatan kanser kanak-kanak pada waktu berkenaan.

"Kami juga berdepan cabaran dari kalangan ibu bapa pesakit yang kurang maklumat mengenai penyakit berkenaan dan turut mahukan rawatan tradisional untuk anak mereka.

"Ia secara tidak langsung menyebabkan berlaku pengabaian dari segi rawatan dan menjejaskan peluang untuk pesakit sembuh sedangkan kadar kesembuhan pesakit leukemia kanak-kanak lebih tinggi daripada pesakit dewasa," katanya.

Dalam pada itu, hasil dari capaian, penambahbaikan, penyelidikan berimpak tinggi dan mutu rawatan leukemia kanak-kanak sepanjang dua dekad, kadar pemandirian keseluruhan melangkaui lima tahun selepas tamat rawatan ALL kanak-kanak berisiko standard yang didiagnos antara tahun 2006 sehingga 2018 turut meningkat dengan ketara iaitu 86.8 peratus.

Selain itu, kadar komplikasi juga menurun dengan sangat baik terutama sepsis dari demam neutropenia.

Kecemerlangan dan sumbangan kepakaran Dr Hamidah sepanjang 23 tahun berkhidmat di universiti itu turut melayakkan beliau diiktiraf dalam bidang Pediatrik Am dan Hematologi dan Onkologi Pediatrik oleh badan Pendaftaran Pakar Kebangsaan Malaysia.

MENYAMPAIKAN buku kepada Dr Mohd Ekhwan pada majlis Syarahan Perdana Profesor di UKM, Bangi, baru-baru ini.
MENYAMPAIKAN buku kepada Dr Mohd Ekhwan pada majlis Syarahan Perdana Profesor di UKM, Bangi, baru-baru ini.

Tidak hairan jika beliau pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa Penilai Subkepakaran khusus untuk menilai pakar bagi pengiktirafan dalam bidang hematologi dan onkologi pediatrik negara.

Beliau turut dipilih sebagai panel penilai geran penyelidikan peringkat universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta panel pemeriksa Program Doktor Pakar Pediatrik Kebangsaan.

Di peringkat antarabangsa menjadi ahli panel untuk Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) 'Asian Histiocytic Disorders Collaborative Group' dan 'Asia Pacific Rare Tumor Board' anjuran St Jude Children's Research Hospital, Amerika Syarikat.

Sementara itu, fokus penyelidikan beliau banyak tertumpu pada kanser leukemia kanak-kanak.

Antara kolaborasi penyelidikan antarabangsa beliau yang masih aktif pada ketika ini adalah penyelidikan penambahbaikan kualiti perkhidmatan kanser bersama St Jude Children's Research Hospital, Amerika Syarikat dan penyelidikan leukemia berisiko tinggi bersama University of Western Australia, Perth.

Kemahiran dan ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang Pediatrik Am dan Hematologi-Onkologi Pediatrik turut dikongsi dalam banyak sesi seminar, bengkel dan persidangan di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Di samping mempunyai tugasan hakiki sebagai Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Kanan Hematologi-Onkologi Pediatrik, Dr Hamidah juga menjalankan tugas dalam bidang pentadbiran di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) sebagai Timbalan Pengarah (Perubatan) sejak setahun lalu.

Dalam bidang penyelidikan di peringkat kebangsaan mengenai leukemia kanak-kanak dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan kanser, beliau ketika ini aktif menjalankan kajian Initiative for Precision Medicine in Paediatric Cancer Therapy (Impact) di mana beliau adalah penyelidik utama bersama.

"Kajian dan penerbitan dalam projek itu diteruskan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam tahun lagi.

"Saya bertekad untuk terus menabur bakti dalam meningkatkan kesihatan dan pemandirian pesakit leukemia kanak-kanak.

"Ia bukan mudah, namun saya bersyukur kerana mendapat sokongan pihak UKM, HCTM, HPKK dan ahli keluarga terutama suami, Dr Mohamed Kamal Mohamed Hisa," kata mantan Presiden Persatuan Hematologi dan Onkologi Pediatrik Malaysia (MASPHO) itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 7:01 AM