GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati seorang daripada lapan remaja berusia 10 hingga 19 di negara ini berdepan dengan gangguan mental.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kajian sama juga mendapati seorang daripada 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun dipercayai menghadapi gangguan mental termasuk gangguan tumbesaran.

Beliau berkata, NHMS iaitu kajian yang dijalankan lima tahun sekali itu, mendapati ada kira-kira 424,000 kanak-kanak di negara ini berdepan masalah mental namun ramai yang tidak tampil mendapatkan bantuan.

"Tindakan bunuh diri jelas penyebab kedua kematian dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 19 tahun.

"Antara faktor risiko untuk kesihatan mental yang rendah termasuk terdedah kepada keganasan, pemangsaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial yang amat berleluasa," katanya selepas merasmikan pelancaran Laporan Malaysia dan Infografik 2022: Pengukuhan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) Sistem dan Perkhidmatan untuk Kanak-kanak dan Remaja di Asia Timur dan Rantau Pasifik di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pejabat Negara Malaysia Christopher Davids dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, kajian dijalankan membangkitkan jurang utama dalam respons dan cabaran semasa mengenai pelaksanaan MHPSS dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, antaranya kesukaran atau akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan mental, kurang pemerkasaan dalam undang-undang dan dasar sedia ada serta kelemahan komunikasi dan koordinasi antara sektor-sektor.

"Turut dibangkitkan adalah pendamaian yang tidak mencukupi, kekurangan anggota terlatih dalam MHPSS bagi kanak-kanak dan remaja, selain kurang pembabitan golongan sasar seperti remaja, ibu bapa atau penjaga serta sektor lain dalam merancang program dan pengawasan kesihatan mental," katanya.

Beliau berkata, untuk mengatasi jurang berkenaan, satu pakej utama tindakan dicadangkan yang menawarkan akses dan maklum balas lebih baik terhadap situasi kesihatan mental.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk menterjemahkan dapatan kajian MHPSS kepada dasar dan amalan.

"Tatkala kami membangunkan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan untuk Kesihatan Mental (NCEMH), KKM mendesak semua pemegang taruh dan agensi bukan kerajaan untuk memudahkan kerjasama lebih besar serta koordinasi untuk menggunapakai MHPSS bagi kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

"Kesihatan mental yang rendah boleh memberi kesan ketara kepada kesihatan, pembelajaran dan pembabitan kanak-kanak serta remaja, seterusnya mengehadkan peluang mereka mencapai potensi sepenuhnya," katanya.

Selain itu, Dr Noor Azmi berkata, ketika ini KKM sudah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk kerjasama dengan 7,700 sekolah rendah dan 2,450 sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, program itu bagi menilai kanak-kanak terbabit melalui senarai yang disediakan untuk memastikan mereka berdepan masalah mental atau sebaliknya, antaranya latar belakang keluarga serta tingkah laku kanak-kanak.

Katanya, penekanan juga diberikan kepada pemerhatian rakan sebaya terhadap rakan masing-masing.

"Penekanan penilaian kendiri juga perlu diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), manakala guru diberikan latihan berterusan untuk menilai masalah mental dengan cepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 3:57 PM