SESI dialog PP di Kuala Lumpur baru-baru ini.
SESI dialog PP di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


SETIAP kali menyentuh perihal membesarkan anak, kebanyakan ibu bapa lebih tertumpu kepada isu pembelajaran. Masing-masing seakan bersaing dan tidak mahu kalah dalam menyediakan yang terbaik demi masa depan anak tersayang.

Malangnya, penekanan berlebihan terhadap kecemerlangan akademik kini membawa kepada peningkatan masalah sosio-emosi dalam kalangan kanak-kanak itu sendiri.

Isu kesihatan mental kian meningkat. Ada yang didiagnosis menghadapi tekanan, keresahan, kemurungan, cenderung membuli, dibuli, terjebak dalam ketagihan dan lebih membimbangkan, adanya kes bunuh diri.

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 melaporkan bahawa tahap kesihatan mental dalam kalangan remaja di Malaysia mencapai peringkat membimbangkan.

Kelakuan ingin bunuh diri dalam kalangan remaja juga meningkat sejak NHMS 2012. Angka tertinggi dicatatkan dalam kalangan pelajar tingkatan 1.

Sementara NHMS 2017 menunjukkan bahawa remaja seawal usia 13 hingga 17 tahun sudah mengalami masalah kesihatan mental. Kira-kira dua daripada lima orang dikenal pasti menghadapi keresahan (39.7%) dan seorang dalam setiap lima individu menghadapi kemurungan (18.3%).

Runsing dengan peningkatan besar itu, Program Pengasuhan Positif (PP) mengambil inisiatif segera dengan memperjuangkan kepentingan mencapai kesejahteraan mental.

Ia boleh dilakukan menerusi pengasuhan positif untuk memerangi kemurungan, keresahan dan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Seiring itu, kepentingan membesarkan anak dengan mental yang seimbang juga diutamakan demi masa depan generasi akan datang.

Ketika majlis dialog bersama media di Kuala Lumpur baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan PP, Datuk Dr Zulkifli Ismail membawakan enam pakar untuk membincangkan isu ini secara lebih mendalam.

DR RAJINI
DR RAJINI

Antaranya termasuk Pakar Perunding Pediatrik Perkembangan, Dr Rajini Sarvananthan, Pakar Perunding Pediatrik & Pakar Perubatan Remaja, Dr Thiyagar Nadarajaw, Pakar Psikologi Klinikal, Prof Madya Dr Alvin Ng, Pakar Perunding Psikiatri, Dr Yen Teck Hoe dan Kaunselor Keluarga, Bawany Chinapan.

Kata Dr Zulkifli, peranan keibubapaan sangat penting dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi anak-anak zaman kini.

“Ada banyak faktor yang boleh boleh menyebabkan kanak-kanak murung, resah atau menjadi ketagih terhadap sesuatu.

“Sebab itu penjagaan dan bimbingan ibu bapa sangat penting. Pada usia mentah, anak-anak masih kurang pengalaman dan kekuatan mental untuk berdepan cabaran kehidupan sendiri.

“Ibu bapa perlu tahu pentingnya pendekatan pengasuhan yang betul dalam setiap keluarga. Ini yang boleh membantu anak-anak mencapai kesejahteraan mental,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rajini berkata, tekanan dari sistem pembelajaran di sekolah dan penjadualan berlebihan turut memberi kesan negatif kepada kesejahteraan mental kanak-kanak.

“Penting bagi ibu bapa untuk tidak meletakkan harapan menggunung di bahu anak-anak, sebaliknya cari jalan untuk memotivasikan mereka supaya berminat dalam pelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:00 AM