Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kementerian Kewangan sekali lagi menafikan kononnya pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan kepada bulan depan, seperti desakan sesetengah pihak.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sebaliknya ia akan kekal pada 28 Oktober seperti yang dijadual dalam kalendar Parlimen.

"Tarikh (pembentangan) Bajet 2023 sudah diumumkan pada 28 Oktober seperti mana takwim Dewan Rakyat yang sudah menjadi pengetahuan umum.

"Saya tiada maklumat Bajet 2023 akan disegerakan bulan depan. Setakat pengetahuan saya tarikh pembentangan bajet akan kekal seperti jadual," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan Sukan Dron di Medini,di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

MOHD Shahar pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara  Futurise Sdn Bhd (Futurise) bersama IIB Ventures Sdn Bhd (IIBV) hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MOHD Shahar pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara Futurise Sdn Bhd (Futurise) bersama IIB Ventures Sdn Bhd (IIBV) hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Terdahulu, timbul spekulasi terdapat desakan supaya pembentangan Belanjawan 2023 dipercepatkan ke bulan hadapan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan.

Pada 17 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, beliau dijangka akan memohon pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 selepas pembentangan Bajet 2023, yang dijadualkan pada 28 Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan menegaskan dakwaan dan spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan bulan depan, adalah tidak benar.

Pada 7 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan menolak ramalan kononnya pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan dan menyifatkan spekulasi yang tersebar sebagai tidak berasas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 4:29 PM