Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: "Jika semua selesai hari ini, tiada siapa perlu datang esok," tegas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan pendengaran akhir kes itu ke pagi esok.

Muhammad Shafee membuat kemunculan di dalam prosiding rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd sebentar tadi.

Beliau hadir bagi membantu peguam Hisyam Teh Poh Teik bagi permohonan Najib bagi meminta Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan bagi rayuan itu.

Muhammad Shafee berkata dia dimaklumkan berhubung perkara itu pagi ini dan belum bersedia untuk berhujah.

Tengku Maimun : Bukankah khidmat Muhammad Shafee sudah ditamatkan?

Hisyam : Ya Yang Amat Arif, saya yakinkan beliau untuk hadir pagi pagi ini bagi membantu saya. Bagaimanapun beliau masih dalam perjalanan dan akan tiba dalam 10 minit lagi. Saya mohon ditangguhkan sebentar prosiding ini.

Tengku Maimun : Saya sudah katakan kita tidak akan tangguh lagi prosiding ini. Tidak, tidak, teruskan dengan hujahan Tuan Haji (Hisyam).

Hisyam meneruskan hujahannya bagi permohonan notis usul meminta Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar dan memutuskan rayuan akhir kes anak guamnya.

Muhammad Shafee kemudian tiba dan memberitahu mahkamah bahawa beliau belum bersedia untuk membuat hujahan mengenai permohonan itu.

Muhammad Shafee : Saya hanya akan bercakap dua atau tiga minit sahaja Yang Amat Arif, saya mohon prosiding hujahan ini ditangguhkan sehingga esok. Tidak ada sebarang konspirasi untuk menangguhkan kes, saya hanya mohon ditangguhkan sehingga esok.

Tengku Maimun : Saya dah buat keputusan tiada penangguhan. Tuan Haji (Hisyam) sudah memulakan hujahan. Awak boleh sambung kemudian.

Muhammad Shafee : Saya cuma minta sehingga esok pagi. Tidak sampai 24 jam. Saya akan hadir esok pagi dan memulakan hujahan.

Tengku Maimun : Awak boleh datang esok atau bila-bila masa tetapi kalau semua selesai hari ini, tiada apa perlu dihujahkan esok.

Hisyam : Yang Amat Arif, saya akan meneruskan hujah hari ini tetapi dengan hujahan tambahan oleh Muhammad Shafee disambung esok pagi.

Muhammad Shafee : Penangguhan ini tidak sampai 24 jam, tinggal 12 jam lagi. Saya hanya dimaklumkan pagi ini ketika berada di parlimen. Saya akan hadir esok pagi kerana perlu kembali ke Parlimen kerana terdapat simposium yang dipengerusikan oleh saya sendiri pada jam 2 petang ini.

Tengku Maimun : Jika semua selesai hari ini, tiada sebab Muhammad Shafee datang esok. Tiada siapa akan datang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 11:29 AM