Pasukan bomba memotong dahan pokok untuk dialihkan ke tempat selamat. FOTO ihsan bomba
Pasukan bomba memotong dahan pokok untuk dialihkan ke tempat selamat. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua wanita cedera ringan selepas rumah mereka di Kampung Unggun Jaya, Manggatal, di sini, dihempap pokok petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 20-an dilaporkan mengalami kecederaan di bahu dan kaki.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 petang.

Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

"Dalam kejadian itu, sebatang pokok tumbang dan menghempap rumah yang menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung dapur.

"Pasukan bomba bertindak memotong dahan pokok dan mengalihkan ke tempat selamat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.15 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 8:07 PM