TANGKAP layar video tular menunjukkan suspek ditahan jiran mangsa samun selepas mendengar jeritan pada awal pagi.
TANGKAP layar video tular menunjukkan suspek ditahan jiran mangsa samun selepas mendengar jeritan pada awal pagi.
Omar Ahmad


Ulu Tiram: Lelaki tidak sempat berjoli dengan hasil samunnya apabila ditahan 30 minit selepas menyamun rumah wanita di kawasan Batu 16, di sini awal pagi hari ini.

Dia ditahan oleh jiran wanita berkenaan yang menyedari kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun yang memaklumkan kejadian pada 1.15 pagi.

Katanya, mangsa sedang tidur apabila rumahnya dipecah masuk suspek berusia 22 tahun yang bersenjatakan pisau.

"Dalam kejadian itu, suspek mengambil barangan milik mangsa dan terus melarikan diri.

"Mangsa yang ketakutan telah menjerit dan jeritannya didengari jiran yang kemudian menahan suspek tidak jauh dari kawasan kediaman itu.

"Bertindak atas maklumat, pada 2.03 pagi sepasukan anggota Balai Polis Ulu Tiram telah membuat tangkapan semula ke atas suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, semakan dibuat mendapati suspek mempunyai masing-masing satu rekod jenayah dan dadah.

"Dia reman tujuh hari hingga 28 Ogos depan dan kita merampas dua telefon bimbit, cincin emas, wang tunai RM505 dan sebilah pisau," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:59 PM