TAKIYUDDIN Hassan (tengah) menunjukkan logo Muktamar Tahunan PAS ke-68. FOTO Noorazura Abdul Rahman
TAKIYUDDIN Hassan (tengah) menunjukkan logo Muktamar Tahunan PAS ke-68. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pas belum menerima usul untuk menamatkan kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) untuk dibahaskan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-68, pada awal September ini.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sudah menerima usul daripada 197 kawasan Pas seluruh negara dan hanya terdapat usul berkaitan mengukuhkan penyatuan ummah dan MN yang diterima seiring dengan pendirian parti itu.

"Usul-usul itu diluluskan di 197 kawasan PAS di seluruh negara untuk Pas Pusat tapis, setakat ini, kita belum memuktamadkan usul-usul yang diterima tanpa bahas dan usul-usul yang akan dibahaskan pada muktamar kali ini.

"Dalam MN kita sentiasa menitikberatkan penyatuan ummah. Setakat ini kita masih belum menerima sebarang usul yang bercanggah dengan pendirian PAS," katanya pada sidang media di Kompleks Pas di sini, petang semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Kedah Senator Datuk Ahmad Yahaya, yang juga pengarah muktamar tahun ini.

Mengulas lanjut, Takiyudin berkata, Pas kini sedang berusaha mencari jalan bagi mengelakkan pertembungan dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang yang dilihat akan merugikan dalam konteks penyatuan ummah.

Katanya, Pas tidak pernah memutuskan hubungan dengan Umno dan pendirian Pas sangat jelas bagi menjamin kestabilan politik.

"Sebagai contoh, terdapat 15 kerusi Parlimen di Kedah, daripada jumlah itu, Pas hanya menang tiga kerusi, manakala Umno pegang dua kerusi lagi.

"Jika kita mencapai persefahaman, kita akan dapat merampas semula kerusi yang hilang daripada parti lain. Ini adalah soal memastikan kestabilan dalam kerajaan bukan isu perkauman. Kita perlukan kerajaan yang stabil.

"Sebab itu PAS tidak menyinggung mana-mana pihak, kita tidak menyerang mana-mana pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 10:08 AM