Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Akta Hasutan 1948 akan menjadi antara usul yang akan dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2014 yang berlangsung pada penghujung November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Majlis Tertinggi UMNO sudah mengamanahkan beliau untuk mempengerusikan Jawatankuasa Usul dan Jurucakap bagi mendekati jurucakap yang dipilih dan dilantik oleh kepimpinan negeri.

Beliau berkata, menerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO, perkara-perkara yang menyentuh kepada kedudukan, perjuangan dan keselamatan negara dan akta-akta negara yang datang dari usul-usul bahagian perlu dikupas dan dibahaskan.

"Ia bagi membolehkan suara UMNO dapat kedengaran dalam kerajaan menggubal perkara-perkara yang dilihat penting dalam kita meniti perubahan landskap global yang tidak ada sempadan pada hari ini.

"Jadi, Akta Hasutan 1948 akan menjadi perkara yang akan kita bincangkan dan satu meja bulat akan diadakan sebelum perhimpunan berlangsung.

"Jawatankuasa yang terbabit akan turun ke bahagian untuk mendengar usul di peringkat akar umbi dan saya sudah meminta kepimpinan negeri untuk menentukan jurucakap awal,” katanya selepas menyampaikan Ucaptama di Konvesyen UMNO Terengganu 2014 di Primula Beach Resort, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 2:20 PM