Nazdy Harun


Kuala Berang: Berlaku peningkatan mendadak pungutan secara sistematik bahan buangan elektrik, elektronik dan minyak masak terpakai di negeri ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Ramli Abd Rahman berkata, rekod pungutan bahan buangan berjadual iaitu barangan elektrik dan elektronik bermula Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 20 metrik tan berjaya dikumpul.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu hanya 20 metrik tan saja dikumpul dan jumlah itu memperlihatkan berlakunya peningkatan yang memberangsangkan.

Katanya, kesedaran umum mengenai pembuangan bahan berjadual secara sistematik dilihat amat positif kerana barangan elektrik dan elektronik selain minyak masak terpakai tidak boleh dilupuskan sewenangnya.

"Kita melantik masing-masing satu kontraktor yang menguruskan bahan buangan elektrik dan elektronik dan kontraktor berkaitan pembuangan minyak masak terpakai di negeri ini.

"Umum mengetahui bahan buangan ini perlu dikendali dengan betul kerana mengandungi bahan toksik yang berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen dan penebat api.

"Bahan-bahan ini berpotensi memberi kesan sangat serius kepada kesihatan manusia dan alam sekitar," katanya selepas Program Pelancaran Kempen Pengumpulan Bahan Buangan Elektrikal dan Elektronik (e-waste) Dari Isi Rumah dan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai, Daerah Hulu Terengganu, di Tapak Pasar Tani, di sini, hari ini.

Lukeman Meri Salleh@Abdul Latif, bersama Ramli Abd Rahman di Program E-Waste. FOTO Nazdy Harun
Lukeman Meri Salleh@Abdul Latif, bersama Ramli Abd Rahman di Program E-Waste. FOTO Nazdy Harun

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) merangkap Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lukeman Meri Salleh@Abdul Latif.

Menurutnya, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110 di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, ia membabitkan peralatan elektrik dan elektronik yang rosak, tidak digunakan atau lama dan usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti ais, dan penyaman udara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 12:46 PM