JBPM melakukan penerbangan Madevac bagi mengeluarkan pesakit dari Pos Bihai Lama dan Kampung Piyel, di sini, semalam. FOTO IHSAN BOMBA
JBPM melakukan penerbangan Madevac bagi mengeluarkan pesakit dari Pos Bihai Lama dan Kampung Piyel, di sini, semalam. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Paya Linda Yahya


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan ke Pos Bihai di sini, jam 11.05 pagi semalam untuk membawa dua pesakit kanak-kanak ke Hospital Gua Musang.

Penerbangan itu bagi membawa Affenzie Khylic Keyei, berusia dua tahun dan bayi berumur lapan bulan, Lili Safina yang mengalami demam panas serta sesak nafas untuk mendapatkan rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, ia menggunakan helikopter Agusta Westland 189 bersama lima anggota.

"Dua pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tujrut dibawa dalam penerbangan ini.

"Kami membawa keluar Affenzie Khylic Keyei yang berada di Kampung Piyel dan Lili Safina di Pos Bihai Lama.

"Kedua-dua pesakit mengalami demam panas, sesak nafas, batuk dan selesema," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak berdepan masalah sepanjang penerbangan. Walaupun cuaca sedikit berjerebu namun jarak penglihatan adalah baik.

"Operasi ini tamat jam 1.50 tengah hari. Penerbangan ini diketuai saya sendiri dengan dibantu pembantu juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Safri Rambli dan tiga anggota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 11:47 AM