Muhammad Sharol bersama Raja Shamri dan Raja Izuddin ketika ditemui di KPTM Kota Bharu, di sini. FOTO SYAHERAH  MUSTAFA
Muhammad Sharol bersama Raja Shamri dan Raja Izuddin ketika ditemui di KPTM Kota Bharu, di sini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Biarpun dilahirkan dengan kedua-dua kaki yang tempang, namun kekurangan itu tidak sesekali mematahkan semangat Muhammad Sharol Azwan Kamal, 19, untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Muhammad Sharol adalah penuntut semester satu Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-tech Mara (KPTM) Kota Bharu, memiliki semangat tinggi walaupun diuji dengan masalah fizikal iaitu paras lutut ke bawah yang membengkok sehingga menyukarkan dia untuk berjalan secara normal.

Dia yang juga anak sulong daripada empat adik beradik bagaimana pun, tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang sebaliknya memberanikan diri meneruskan pengajian bagi membuktikan insan istimewa sepertinya juga mampu berjaya untuk mencapai cita-cita sebagai usahawan berjaya kelak.

"Pada awalnya saya takut untuk menerima tawaran belajar ini kerana risau akan cabaran serta pandangan orang, namun kini saya lebih yakin selain bersyukur ditemukan dengan rakan serta pensyarah yang banyak membantu.

"Disebabkan saya tidak mampu berjalan dengan sempurna, memang diakui berasa cepat letih untuk ke mana-mana termasuk ke kelas atau kolej. Bagaimanapun, ia bukan penghalang untuk saya.

"Selagi boleh dilakukan sendiri, saya akan usahakan demi memastikan impian untuk menjadi seorang usahawan berjaya tercapai sekali gus merubah nasib keluarga kepada kehidupan yang lebih baik," katanya ketika ditemui di KPTM Kota Bharu, di sini, baru-baru ini.

Dia yang juga atlet memanah paralimpik peringkat kebangsaan, turut dikunjungi Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husin, dan Pengarah KPTM Kota Bharu, Raja Izuddin Raja Ahmad.

Muhammad Sharol berkata, dia tidak mahu mensia-siakan harapan bapa, Kamal Ismail, 40, dan ibunya, Noriani Karim, 38, yang mahu melihatnya berjaya dan mampu berdiri di atas kaki sendiri walaupun dilahirkan tidak sempurna.

"Sejujurnya, ada sahaja yang memandang pelik melihat cara saya berjalan, tetapi saya tidak pernah berasa hati kerana ramai juga antara masyarakat yang memberi semangat dan sokongan buat saya.

"Doakan semoga saya terus cekal dan kuat untuk menempuhi cabaran sepanjang pengajian ini, seterusnya mendapatkan keputusan cemerlang dan berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 10:15 PM