Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadikan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu sebagai Pusat Satelit MyFutureJobs yang pertama di negara ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia adalah inisiatif agensi itu sebagai penyedia Perkhidmatan Pekerjaan Awam bagi meningkatkan kebolehcapaian masyarakat kepada peluang pekerjaan.

Katanya, pelancaran Pusat Satelit MyFutureJobs itu mempunyai signifikan kepada Perkeso kerana ia adalah yang pertama seumpamanya membabitkan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Pusat terbabit berfungsi sebagai one-stop-centre, bukan sahaja kepada penuntut di institusi berkenaan, bahkan kepada komuniti setempat.

"Malah, ia dijadikan projek perintis kepada penubuhan lebih banyak pusat satelit MyFutureJobs di IPT pada masa akan datang.

"Kerjasama ini mewujudkan satu ekosistem pasaran buruh lebih efisien selain memberi manfaat bukan sahaja kepada penuntut dan graduan untuk lebih bersedia memasuki pasaran pekerjaan, tetapi juga kepada pencari kerja bagi mengisi jawatan kosong," katanya.

Nora Yaacob (dua dari kiri) di Majlis Pelancaran Pusat Satelit MyFutureJobs di KPTM Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Nora Yaacob (dua dari kiri) di Majlis Pelancaran Pusat Satelit MyFutureJobs di KPTM Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Belia berkata demikian melalui ucapan secara maya di majlis pelancaran Pusat Satelit MyFutureJobs di KPTM Kota Bharu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob dan Pengarah KPTM Kota Bharu, Raja Izuddin Raja Ahmad.

Mohamed Azman berkata, MyFutureJobs merekodkan 47,901 majikan yang menawarkan 745,304 jawatan kosong kepada lebih 500,000 pencari kerja yang berdaftar di portal terbabit pada tahun lalu.

"Pada tahun berkenaan, Perkeso melaksanakan penempatan pekerjaan untuk 160,554 pencari kerja menerusi portal ini.

"Sehingga 4 Oktober 2021, sebanyak 275,565 peluang pekerjaan yang masih aktif ditawarkan kepada lebih 686,000 pencari kerja yang berdaftar di MyFutureJobs," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 2:53 PM