Syaherah Mustafa


Kota Bharu: "Saya tidak kisah berpanas dan berhujan menghantar kek pisang kepada pelanggan demi membantu ibu yang kini menjadi ketua keluarga selepas abah sakit terlantar sejak setahun lalu," luah Muhammad Syarifudin Mahadi.

Muhammad Syarifudin, 19, yang juga anak sulung daripada empat beradik menggunakan masa terluang menjadi 'runner' menghantar kek pisang hasil tangan ibunya, Nor Fariza Abd Aziz, 42, demi kelangsungan hidup.

Menurutnya, mereka bukan berasal daripada keluarga senang, dan kehidupan menjadi lebih sulit setelah bapanya, Mahadi Awang, 44, hanya mampu terlantar akibat serangan asma kronik sehingga keluarganya hilang tempat bergantung.

"Ibu mengambil upah membuat kek demi mencari wang, jadi saya menawarkan diri untuk membantu membeli barangan serta menghantar tempahan di sekitar Kota Bharu.

MUHAMMAD Syarifudin memberi susu khas melalui tiub kepada bapanya. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
MUHAMMAD Syarifudin memberi susu khas melalui tiub kepada bapanya. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Memandangkan saya meneruskan pengajian Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Puteri, di sini, saya perlu membahagikan masa sebaiknya untuk membantu ibu selain menjaga abah yang sakit dan perlukan pemantauan 24 jam.

"Jika sebelum ini saya menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) dari rumah, kini perlu ke sekolah untuk bersemuka menyebabkan kerja 'runner' banyak dilakukan pada sebelah petang atau hujung minggu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Merbau, di sini, semalam.

Remaja itu dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Mohd Nasir Abdul Kadir, yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan selain memberi nasihat dan kata-kata semangat.

Menurut Muhammad Syarifudin, dia jarang keluar bersuka ria dengan rakan kerana masa lebih banyak digunakan untuk membantu ibu dan menjaga bapa selain mengulangkaji pelajaran.

"Sebenarnya, hampir setiap malam saya berjaga untuk memastikan abah dalam keadaan baik kerana dia sering batuk dan mengalami sesak nafas apabila kahaknya perlu disedut buang menggunakan alat penyedut.

"Abah tidak seperti orang lain. Dia hanya mampu terbaring dan tidak boleh bercakap, jadi saya dan ibulah yang perlu memberi susu serta menukar lampin pakai buang agar dia sentiasa dalam keadaan terurus dan terjaga.

"Saya rindukan abah yang dulu, namun reda dengan ketentuan Ilahi selain perlu sentiasa kuat demi adik yang turut terkesan emosinya melihat keadaan abah begini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:58 PM