FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kepelbagaian kreativiti menggunakan Jalur Gemilang bersempena sambutan bulan kemerdekaan boleh menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara ini.

Selain penghasilan pelbagai barangan berkonsepkan bendera negara, penggunaan busana bertemakan Jalur Gemilang juga semakin mendapat tempat khususnya golongan muda.

Pengarah Kreatif Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) Yan Razal berkata, perkembangan terbaharu itu menunjukkan generasi muda mempunyai nilai patriotisme tinggi di sebalik pelbagai isu sosial yang melanda.

Katanya, daripada segi kreativiti, banyak elemen yang boleh diketengahkan asalkan orang ramai tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

"Jalur Gemilang ini adalah lambang kedaulatan negara dan mempunyai kedudukan tertinggi. Selagi kreativiti sedia ada itu tidak melanggar batas-batasnya, saya rasa ia tidak memberi masalah.

"Cuma, kita perlu tahu bagaimana hendak menjadikan kreativiti ini sebagai tunjang kepada semangat kenegaraan, patriotisme dan memupuk sikap berbakti kepada negara," katanya.

Beliau mengulas mengenai trend memakai tanjak, pakaian dan penghasilan barangan bertemakan Jalur Gemilang oleh sesetengah pihak kebelakangan ini.

Pemerhatian wartawan di media sosial mendapati, ada yang mengecat kereta, membuat replika dan menghasilkan tanjak dengan tema Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan tahun ini.

Ia mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dengan ada yang menyifatkannya sebagai keterlaluan dan menghilangkan rasa hormat kepada lambang negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 3:40 PM