KEADAAN kereta Perodua Axia yang dinaiki mangsa kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta Perodua Axia yang dinaiki mangsa kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca
Rosli Ilham


Chukai: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 301.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Plaza Tol Kijal, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi, Saharuzaman Abd Wahab, 48, yang parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian.

Dua rakannya, Kamarulzaman Abu Bakar, 52, dan Mohd Afiq Mohd Noor, 23, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa bekerja sebagai mekanik manakala dua rakannya bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori.

Menurutnya, ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Johor menuju ke Kuala Terengganu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Axia yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.

"Dalam masa yang sama, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isteri dan anaknya yang datang dari arah yang sama gagal mengelak lalu melanggar kereta mangsa," katanya.

Hanyan berkata, rempuhan itu menyebabkan kesemua mangsa di dalam kereta Axia terbabit tercampak keluar.

"Pemandu pacuan empat roda bersama dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 11:16 PM