PEKERJA kontrak syarikat pembersihan maut dilanggar kereta. FOTO tular
PEKERJA kontrak syarikat pembersihan maut dilanggar kereta. FOTO tular
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat pembersihan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan 4, Taman Selasih, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 68 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan juga anggota badan.

Lebih menyayatkan hati apabila mangsa yang sedang melakukan kerja ketika itu dilihat terperosok di bawah kereta dalam keadaan masih memegang mesin pemotong rumput.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu 1.14 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi.

"Hasil siasatan mendapati ketika kemalangan mangsa sedang melakukan kerja memotong rumput.

"Bagaimanapun, sebuah Proton Iswara putih dipandu seorang lelaki berusia 77 tahun hilang kawalan sebelum melanggar mangsa yang ketika itu berada di kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki warga emas yang memandu kereta itu dalam perjalanan menuju ke rumahnya di kawasan berhampiran.

"Siasatan mendapati pemandu kereta memiliki lesen memandu sah dan cukai jalan kenderaan itu juga masih belum tamat tempoh.

"Pemandu kereta kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 5:43 PM