MOHAMMAD Hamdan menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil jabatan. FOTO Nurliawati Sabri.
MOHAMMAD Hamdan menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil jabatan. FOTO Nurliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seramai 226 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja dalam tempoh empat tahun.

Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, daripada jumlah itu seramai 50 dikenakan tindakan buang kerja bermula 2019 sehingga Jun tahun ini.

Beliau berkata, bagaimanapun statistik tatatertib jabatan itu menunjukkan penurunan lebih 50 peratus antaranya membabitkan kesalahan salah guna kuasa, dadah serta keluar negara tanpa kebenaran.

"Untuk enam bulan pertama tahun ini kita hanya ada 22 kes tatatertib yang direkodkan berbanding 154 kesalahan bagi tiga tahun sebelumnya yang mana untuk tahun lalu terdapat 63 kes.

"Selain itu, seramai enam orang dikenakan hukuman buang kerja sehingga Jun tahun ini berbanding 19 orang sepanjang tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Forum Bicara Governans, Integriti Dan Anti Rasuah (BIGIAR) Siri 1 Tahun 2022, Peringkat Zon Selatan JBPM, hari ini.

Menurutnya, faktor penurunan kesalahan itu hasil daripada gerakan pemerkasaan integriti yang dijalankan jabatan itu sejak 2013.

"Melalui gerakan pemerkasaan dijalankan kesedaran timbul, kemungkinan selama ini mereka tidak mengetahui nilai tertentu yang dilarang dan sekarang sudah sedar.

"Kita harapkan dalam tempoh enam bulan akan datang tiada kes lain libatkan pembuangan kerja yang ada kaitan dengan integriti termasuk penyalahgunaan dadah," katanya.

Menurut Mohammad Hamdan, JBPM akan memantau statistik kesalahan tatatertib itu dari masa ke semasa bagi membendung berlakunya peningkatan kes.

"Kita harap penurunan ini berterusan selain pastikan tiada toleransi kepada yang terbabit dengan aspek penyalahguna kuasa, kebocoran, ketirisan, rasuah dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 4:05 PM