Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. FOTO Nor Amalina Alias
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kerajaan mengenal pasti lima lokasi untuk dijadikan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) bagi menempatkan pekerja asing dalam usaha mengatasi penularan Covid-19, khususnya di tapak pembinaan.

Lima lokasi itu membabitkan empat kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkeluasan antara 0.6 hingga 1.6 hektar, dan satu di Putrajaya membabitkan keluasan 10 hektar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, penempatan itu dibuat sebagai langkah pencegahan ketat kerana sektor pembinaan didominasi pekerja warga asing.

"Kebanyakan pekerja asing ini mereka tinggal di penempatan sesak, bila nak jimat mereka biasanya menyewa beramai-ramai sampai 10 hingga ke 20 orang serumah.

"Di situlah mudah membiaknya jangkitan Covid-19 hingga melahirkan beberapa kluster di tapak pembinaan," katanya ketika ditemui selepas melawat operasi sanitasi di Masjid Tuan Guru Haji Musa, Bukit Marak, di sini, hari ini.

Annuar berkata, pembinaan CLQ itu akan dibuka kepada pihak swasta dengan cadangan pembinaan berkonsepkan rumah bertingkat dengan konsep separa kekal.

Katanya, bangunan itu akan mampu menempatkan 40,000 pekerja warga asing pada peringkat permulaan dengan tempoh pembinaan antara empat hingga tujuh bulan dari sekarang.

"Penempatan ini dicadangkan dibuat separa kekal kerana tapak binaan juga berubah-ubah ikut kerja pembinaan yang dah siap, bagaimanapun penempatan itu haruslah mampu bertahan untuk tempoh enam hingga 10 tahun," katanya.

Katanya, program penempatan itu membabitkan kerjasama beberapa pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Rumah kongsi juga masih dibenarkan tetapi tidak boleh sesak, selain kita juga ketatkan syarat dalam Development Order (DO) di mana pemaju perlu memberitahu tempat tinggal pekerja asing.

"Ini bagi memudahkan kita memantau pergerakan dan keselamatan kerana tidak boleh juga pekerja asing tiada kerana kebanyakan mereka bekerja di tapak pembinaan projek dalam negara.

"Seperti di Wilayah Persekutuan sahaja, kita masih ada 32 projek pembangunan sedang berjalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 5:18 PM